Dunia telah memasuki awal tahun 2012. Namun pemimpin-pemimpin dunia masih tidak mencapai kata persetujuan untuk melaksanakan penurunan pelepasan gas rumah hijau yang berskala besar. Tanpa persetujuan yang boleh dikuatkuasakan ini, dunia tidak mempunyai peluang untuk mengatasi masalah pemanasan dunia dan perubahan iklim.
Setiap kali menyambut tahun baru, ia bermakna dunia semakin mendekati situasi yang tidak dapat diputar balik, iaitu peningkatan tahap kepanasan sebanyak 2 darjah Selsius. Ini dipercayai akan mengundang kesan dan situasi perubahan iklim yang paling teruk.
Kesan yang bakal berlaku itu meliputi malapetaka-malapetaka seperti banjir, kemarau berpanjangan, penyakit baru, kepupusan spesis dan kebuluran di seluruh dunia. Namun, amaran-amaran ini masih tidak cukup untuk mendesak pemimpin-pemimpin dunia untuk mengambil tindakan segera, sebaliknya masing-masing hanya terus 'menunggu' pihak lain dahulu yang mengambil tindakan.
Dunia semakin bimbang tentang ketidaktentuan krisis kewangan yang melanda di Amerika Syarikat dan Eropah. Secara semula jadi, hampir semua pemimpin dunia telah menumpukan perhatian mereka terhadap isu tersebut dan mengabaikan isu alam sekitar dalam agenda politik mereka.
Nampaknya, mereka mengharapkan isu perubahan iklim akan 'selesai' secara semula jadi tanpa memerlukan usaha-usaha yang lebih giat dan persetujuan bersama untuk menetapkan penurunan pelepasan gas rumah hijau berskala besar. Mereka juga masih tidak sedar bahawa perubahan iklim bukan hanya merupakan isu alam sekitar, tetapi ia juga melibatkan isu sosial dan ekonomi yang bakal mengubah masa depan ketamadunan manusia.
Masih belum terlambat untuk masyarakat pengguna yang bertanggungjawab, untuk berusaha bersama-sama dengan para pemimpin-pemimpin negara dalam menangani isu perubahan iklim. Sekiranya mereka tidak bertindak, maka ingatan perlu diberikan kepada mereka. Sekiranya mereka ketandusan idea untuk melaksanakannya, maka berikan idea-idea baru kepada mereka. Semua usaha ini adalah penting kerana ia akan menentukan masa depan kehidupan.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia