Hampir 600km dari Bangkok, hujan turun seperti biasa pada musim monsun tahun 2011 di hilir lembangan Sungai Chao Phraya. Namun, kadar hujan pada musim tersebut jauh lebih tinggi daripada kadar biasa. Di antara bulan Julai sehingga September 2011, beberapa siri hujan ribut telah menenggelami kawasan yang subur itu. Banjir pada masa itu hanya berlaku di dataran-dataran di hilir sungai dan seluruh Bangkok masih selamat daripada banjir tersebut. 

Pada hujung September 2011, hujan berhenti dan semua rakyat Bangkok percaya bahawa air banjir di hilir bakal bersurai melalui sistem saliran dan pembetungan yang telah dibina 30 puluh tahun dahulu. Walau bagaimanapun,  mereka telah memandang rendah kepada kuasa alam sekitar. 

Pada awal bulan Oktober 2011, air banjir yang bersaiz 16 bilion kubik meter (bersamaan dengan 64 juta kolam renang Olimpik) , beberapa kali ganda kapasiti Sungai Chao Phraya sedang mencari ‘jalan’ untuk mengalir ke Teluk Thailand dari hilir Sungai Chao Phraya. Sistem saliran dan pembetungan di Bangkok tidak dapat menampung air banjir yang berlebihan tersebut dan akhirnya hampir seluruh Bangkok ditenggelami air.


Pada November 2011, air banjir telah menenggelami kebanyakan kawasan industri, lapangan terbang Don Muang dan hampir 40% pusat bandar Bangkok. 800 nyawa telah diragut dan kerugian mencecah USD45 billion yang menyebabkan berjuta-juta penduduk perlu meninggalkan rumah kediaman mereka. 

Dalam segi politik, banjir besar ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada kerajaan baru Thailand yang baru dibentuk pada bulan Julai. Namun, kerajaan Thailand telah melakukan segala usaha mereka melalui bantuan tentera dan membentuk satu jawatankuasa khas untuk banjir besar ini yang dianggotai oleh semua menteri dan agensi kerajaan yang berkenaan dengan air. 

Namun, disebabkan skala bencana alam ini terlalu besar, penyelarasan dan kerjasama di antara agensi tidak begitu memuaskan dan menyebabkan maklumat banjir tidak dapat disalurkan dengan baik kepada rakyat yang terjejas. Semasa kerajaan bertungkus-lumus untuk mencari jalan penyelesaian, rakyat biasa telah memulakan inisiatif mereka sendiri.

Rakyat Thai yang mempunyai budaya dan sikap moral yang tinggi, menerima dugaan ini dengan hati yang terbuka dan bekerjasama di antara sama lain. Wanita, kanak-kanak dan sami-sami turut menyumbang dalam membina benteng banjir sementara. Anggota tentera bertanggungjawab untuk menyalurkan makanan dan membantu penduduk yang terjejas ke tempat yang selamat. Atas keberkesanan yang tinggi di antara rakyat dan anggota tentera, penyakit bawaan air tidak meletus dan menimpa mangsa-mangsa banjir. Pada Januari 2012, air banjir akhirnya surut dan kehidupan kembali seperti biasa. 

Institut Meteorologi Belanda telah menjalankan satu kajian terhadap banjir besar dan mendapati bahawa hujan lebat yang menyebabkan banjir besar tersebut hanya berlaku sekali dalam tempoh 250 tahun. Walaupun kebarangkalian untuk banjir besar berlaku pada masa hadapan adalah rendah, tetapi kerajaan dan rakyat Thai perlu sentiasa berwaspada disebabkan perubahan iklim dan urbanisasi, banjir besar akan melanda tanpa amaran. Sekarang merupakan masa yang terbaik untuk menjalankan aktiviti seperti kursus atau taklimat pengurusan bencana alam dan memberikan pengetahuan kepada rakyat biasa agar dapat bersedia pada masa berlakunya banjir besar lagi. Sistem ramalan banjir yang menggunakan teknologi terkini perlu dipasang dan digunakan. Selain itu, pengetahuan dan keupayaan pegawai-pegawai semasa kecemasan perlu dipertingkatkan lagi. 

Bangkok adalah bertuah kerana hujan lebat turun di kawasan yang lebih jauh di hilir Sungai Chao Phraya dan skala banjir tidak menenggelamkan seluruh Bangkok. Banjir besar ini telah memberi satu pengajaran besar kepada rakyat Thai bahawa kuasa alam sekitar tidak boleh dipandang rendah dan kesan perubahan iklim dipandang remeh. Di samping itu, penduduk yang tinggal di Malaysia juga perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada malapetaka yang telah melanda di negara jiran kita kerana banjir juga merupakan bencana alam yang paling membinasakan di Malaysia. 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia.