Media melaporkan berlaku kenaikan harga barangan di sesetengah tempat seperti di Ipoh dan Melaka. Kenaikan sekitar 50 sen hingga RM 1 bagi sebahagian besar keperluan barangan harian ini sangat menekan pengguna dan masyarakat. Menurut peniaga, bahan mentah seperti ikan, udang, sotong semakin berkurangan dan ini menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan, selain faktor pengangkutan dan upah pekerja.

Hal ini berlaku disebabkan senario global seperti kenaikan harga makanan dunia. Menurut FAO, Index harga makanan meningkat pada pada Disember 2010 mengatasi tahun 2008 dan pada Mac 2011, harga menurun sedikit dan stabil pada bulan April 2011, walaupun harga ini masih tinggi. Dunia turut mengalami kekurangan air untuk pertanian di samping berlaku perubahan cuaca yang menjejaskan kehidupan masyarakat luar bandar dan keselamatan penduduk seperti kes kematian yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Somalia akibat kekurangan makanan.

Kenaikan harga minyak dunia juga amat menyesakkan masyarakat dunia. Menurut Associates Press, harga minyak dunia dijangka meningkat melebihi AS$100. Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengumumkan tidak akan meningkatkan pengeluaran minyak mentah.

Manakala penggunaan minyak dunia dijangka akan bertambah sebanyak 2% pada tahun ini dengan purata 88.4 juta tong sehari. Kemelut peperangan Timur Tengah yang masih berterusan juga menyebabkan harga minyak melonjak kepada 25% merupakan antara catatan tertinggi setakat ini (Januari hingga April 2011).

Selain itu, harga gas dunia turut mengalami kenaikan, walaupun pada dasarnya harga arang batu lebih stabil berbanding minyak dan gas. Harga arang batu dilaporkan pada Mac 2009 hanya AS$85 dan kini telah mencecah lebih AS$120 setiap tan.

PERSEDIAAN PENGGUNA
Bersederhana dalam kehidupan adalah petua terbaik untuk mengawal nafsu daripada berbelanja secara berlebihan seperti mengurangkan perbelanjaan dapur dan belanja makanan. Langkah-langkah untuk menjimatkan perbelanjaan ialah:

a) Membeli secara pukal
Anda boleh membeli barangan secara pukal untuk barangan harian yang tahan lama seperti beras, minyak masak, sabun basuh dan syampu untuk sebulan sekali. Bagi barangan basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dibeli secara 2 minggu sekali. Anda boleh menyimpan makanan di dalam freezer untuk mengekalkan kesegaran makanan tersebut.

Anda perlu rancang pembelian dengan menyediakan senarai barangan yang perlu dibeli. Elakkan daripada membuat pembelian yang tidak dirancang.

b) Jualan promosi
Promosi jualan murah semakin diperhebatkan menjelang musim perayaan ini. Persaingan sengit yang sihat ini akan memberi pilihan kepada pengguna. Menurut pakar psikologi, suri rumah mengamalkan tabiat setia pada satu-satu kedai atau pasar raya. Tabiat ini perlu dielakkan. Dengan adanya jualan murah di serata tempat, ia dapat menggalakkan anda untuk membuat perbandingan harga. Fkirkanlah sama ada pasar raya yang bakal dikunjungi menawarkan penjimatan yang sangat berbaloi kepada anda.

c) Menyediakan makanan di rumah
Faktor kesuntukan masa, terutama wanita berkerjaya, adalah alasan untuk tidak menyediakan makanan sendiri di rumah. Amalan menyediakan makanan di rumah lebih menjimatkan dan kebersihannya lebih terjamin. Anda boleh mengurangkan kekerapan membeli makanan di bazar-bazar ramadhan. Mungkin tanpa anda sedari, dengan berbelanja di luar, anda telah membayar kos-kos seperti upah tukang masak, pekerja, sewa kedai atau tapak gerai, pengangkutan dan sebagainya, menjadikan makanan tersebut mahal.

d) Kawal penggunaan air dan tenaga
Purata penggunaan air domestik di Malaysia ialah sebanyak 226 liter per kapita sehari menurut satu kajian. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, purata penggunaan air dalam satu mandian ialah sebanyak 50 liter hingga 100 liter sehari. Pembaziran akan merugikan anda kerana pada akhir bulan anda terpaksa membayar bil yang tinggi. Begitu juga, gunakanlah cahaya matahari untuk menerangi rumah anda dan gunakan lampu kalimantang atau produk yang cekap tenaga.

e) Menilai keperluan, kehendak dan rangsangan
Anda perlu menilai sama ada adakah sesuatu barangan yang ingin dibeli itu benar-benar diperlukannya? Atau jika ia diperlukan, bolehkah pembelian tersebut ditangguhkan? Adakah altenatif yang lebih murah? Bolehkah ia dibuat sendiri? Persoalan-persoalan ini perlu difikirkan sebelum anda membuat keputusan dalam pasaran. Mengikut pengalaman bagi kaum wanita, setelah membeli baju, mereka perlu mendapatkan tudung yang berpadanan, kemudian mendapatkan aksesori seperti kerongsang, rantai, beg tangan yang bersesuaian dengannya. Faktor rakan sebaya juga turut mempengaruhi dalam berbelanja. Seolah-olah anda setaraf dengan rakan tersebut apabila anda berekspresi atau bergaya seperti mereka.

Fikirkanlah, wang sering diperkatakan murah untuk dibelanjakan tetapi sangat susah untuk disimpan. Oleh itu, pilihan di tangan anda. Berbelanjalah secara berhemat untuk kesejahteraan pada masa hadapan.

Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)