“Berdikit-dikit, lama-lama menjadi bukit”, peribahasa Melayu yang begitu sinonim dengan tabiat menabung. Ramai pengguna yang menyimpan wang secara sedikit demi sedikit untuk tujuan melancong. Namun demikian, ramai yang tersungkur dengan kerenah penipuan sindiket pelancongan dan juga penipuan yang berlaku dalam bidang pelancongan ini. Jumlah aduan tentang penipuan ini kian meningkat saban hari.
Pada 2017, sebanyak 3,590 aduan telah diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), manakala pada tahun 2018, jumlah aduan telah meningkat ke 4,411 kes.
Kebanyakan aduan adalah bersabit dengan penipuan yang juga dikenali sebagai scam. Jumlah aduan yang diterima adalah hampir 28%, iaitu sebanyak 1,235 kes daripada keseluruhan jumlah aduan mengenai pelancongan.
Kebanyakan scam ini berlaku kerana para pengguna mudah terperdaya dengan pakej percutian yang ‘indah khabar dari rupa’ yang ditawarkan oleh sindiket pelancongan yang tidak sah, sekali gus tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan aktiviti pelancongan daripada pihak berkuasa.
Sindiket ini menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding harga yang kebiasaannya ditawarkan oleh syarikat-syarikat pelancongan yang berlesen. Pakej yang ditawarkan lazimnya merangkumi tambang perjalanan, makanan dan juga penginapan di hotel tiga bintang.
Namun demikian, pengguna perlu membuat tempahan seawal enam sehingga lapan bulan sebelum tarikh perjalanan, serta perlu membayar wang pendahuluan.
Di samping itu juga, mereka terpaksa membayar wang tempahan sehingga 50% daripada bayaran penuh kos pelancongan. Apabila tarikh percutian hampir tiba, para pelancong akhirnya gagal menghubungi syarikat atau ejen sindiket pelancongan untuk mendapatkan tiket dan butir-butir perjalanan.
Harapan dan impian untuk bercuti musnah begitu sahaja.Wang yang disimpan sekian lama untuk melancong kononnya, lesap tanpa dapat dikesan. Kebanyakan ejen tanpa lesen tersebut menjalankan operasi sebegini secara dalam talian dan bayaran turut dibuat dalam talian.
Mereka menjalankan operasi tanpa mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya tidak mudah dijejaki sekiranya mereka melarikan diri atau gulung tikar.
Adalah menjadi tanggungjawab para pengguna untuk memastikan mereka berurusan dengan pihak pengendali pelancongan yang bertauliah dan berdaftar.
Pengguna boleh melayari portal Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mengenal pasti sama ada syarikat yang mereka berurusan terdapat dalam senarai Lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB). Pengguna boleh melayari laman sesawang MOTAC di pautan http://www.motac.gov.my/semakan/tobtab.
Para pengguna juga harus memastikan syarikat pelancongan ini masih aktif. Pengguna boleh mendapatkan maklumat tersebut dengan menghubungi pihak SSM, atau layari laman sesawang SSM di pautan http://www.ssm.com.my/Pages/Quick_Link/e-Search.aspx. Pengguna juga boleh berurusan terus di pejabat SSM yang terdekat.
Para pengguna perlu berwaspada kerana ramai pengguna terpedaya dengan tawaran menarik yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat pelancongan. Selidiki dahulu sebelum berurusan dengan mana-mana syarikat ini supaya anda tidak terpedaya.
Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pegguna Nasional (NCCC)