Putrajaya: Kerajaan akan mengambil langkah termasuk meningkatkan pemeriksaan di tempat kerja, menyediakan lebih banyak sokongan kepada mangsa buruh paksa dan meningkatkan kesedaran tentang isu dalam kalangan majikan dan pekerja untuk memerangi buruh paksa.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan sedang memulakan beberapa langkah utama seperti meratifikasi Protokol 2014 untuk Konvensyen Buruh Paksa dan menerima pakai Pelan Tindakan Nasional Berhubung Isu Buruh Paksa (2021-2025) berikutan buruh paksa adalah satu isu hak asasi manusia yang serius dalam hubungan pekerja.

"Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan rakan-rakan kongsi lain untuk mengukuhkan lagi usaha kami memerangi buruh paksa di Malaysia.

"Kami yakin bahawa kami boleh mencapai kemajuan dalam isu ini dan kami komited untuk memastikan bahawa semua pekerja di Malaysia dihormati dan dilayan seadilnya," katanya.



Kementerian itu berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perekrutan dan pengambilan pekerja tempatan yang ditandatangani kerajaan dengan banyak negara penyumbang tenaga kerja secara spesifik memasukkan peruntukan perlindungan untuk menangani masalah dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pekerja dan kerajaan mereka di Malaysia.

Mengenai laporan ILO yang baru-baru ini dikeluarkan tentang buruh paksa di Malaysia bertajuk Skilled to care, forced to work? Recognising the skills profiles of migrant workers in ASEAN amid forced labour exploitation, kementerian itu berkata kerajaan memandang serius mengenai dapatan dalam laporan itu.

Difahamkan dapatan dalam laporan berdasarkan temu bual dengan 1,201 pembantu rumah antara Julai dan September 2022 di Malaysia, Singapura dan Thailand menunjukkan 29 peratus pembantu rumah migran di dalam negara yang terbabit dalam kajian itu menepati takrifan statistik ILO mengenai buruh paksa, tujuh peratus di Singapura dan empat peratus di Thailand.