Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan bahawa mereka akan mengkaji keperluan untuk melaksanakan sistem pengundian lebih awal (advance voting).
Sistem pengundian awal bermaksud pengundi boleh membuang undi sehari atau beberapa hari lebih awal. Tujuannya bagi meningkatkan jumlah pengundi serta mengurangkan kesesakan pada hari mengundi. Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, sistem ini telah dijalankan di beberapa buah negara termasuklah negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Apa yang menjadi persoalannya di sini ialah bukankah lebih baik jika SPR memfokuskan kepada sistem pendaftaran pengundi secara automatik sekiranya objektif untuk mengadakan sistem pengundian awal ini, adalah untuk meningkatkan jumlah pengundi pada hari mengundi?
Sehingga kini, terdapat 4.4 juta rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi tidak atau belum mendaftar dengan SPR. Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana ia menunjukkan kurangnya kesedaran dalam kalangan rakyat, atau sikap tidak lagi peduli tentang situasi politik negara. Ini bakal merugikan banyak pihak termasuk pengundi itu sendiri kerana mereka hanya diberikan hak mengundi sekali sahaja setiap lima tahun dalam menentukan kepimpinan kerajaan tetapi menafikan atau dengan sengaja mengabaikan hak tersebut.
Jika MyKad dijadikan sebagai kad pelbagai fungsi (merujuk juga kepada fungsi MyKad akan dijadikan sebagai saluran untuk mendapatkan subsidi minyak dan fungsi-fungsi lain yang pernah diperkenalkan seperti kad TouchNGo dan kad ATM), mengapa seorang pemegang MyKad yang telah berumur 21 tahun, berwarganegara Malaysia tidak boleh diklasifikasikan sebagai pengundi secara automatik? Dan jika pihak bank dan TouchNGo Sdn Bhd boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara, mengapa hal yang sama tidak boleh berlaku antara SPR dan JPN?
Saya pernah bertanya kepada beberapa rakan yang masih belum mendaftar, dan jawapan yang mereka berikan adalah ‘menjadi kerja untuk pergi mendaftar’, ‘kalau mendaftar, bila mengundi, perlu pulang ke kampung halaman’, ‘sudah tidak percayakan sistem pengundian’ dan alasan-alasan lain yang mengejutkan.
Melihat kepada masalah pengundi akan menyalahkan pihak SPR mengenai alamat tempat tinggal, kerana alamat tempat tinggal yang berbeza dalam MyKad dan tempat tinggal sekarang pengundi itu sendiri, ia merupakan tanggungjawab pengundi itu sendiri. Ingin saya bertanya, berapa ramai rakyat Malaysia yang sedar bahawa mereka perlu menukar alamat tempat tinggal setiap kali mereka berpindah dan menetap di satu-satu kawasan?
Apa yang ingin saya jelaskan di sini adalah, sayang jika dibiarkan pengundi terus tidak berdaftar. Mereka mungkin tidak tahu atau tidak mahu mengambil tahu. Tetapi, tidakkah akan menjadi satu titik permulaan kepada rakyat bagi mempunyai kesedaran dalam memiliki hak untuk keluar mengundi? Bukankah ini akan menjadikan SPR dan JPN yang lebih efektif dan mesra rakyat? Tidakkah ini juga akan meningkat keupayaan JPN sebagai menyahut konsep KPI yang diperkenalkan kerajaan? SPR patut melihat jauh di dalam isu ini selain daripada memfokuskan kepada sistem pengundian awal.
Azwa Abdul Rahman
27 Januari 2010