Pendidikan Hak Asasi Manusia atau PHAM didefinisikan sebagai pendidikan, latihan dan informasi yang bertujuan untuk membina budaya hak asasi manusia yang universal melalui perkongsian ilmu, kemahiran dan pembentukan sikap kepada menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas.
- Pendidikan Hak Asasi Manusia juga menerapkan nilai-nilai seperti:
- Mempromosikan toleransi mengenai kesamaan jantina dan pertalian antara semua kaum tidak kira agama, keturunan atau bahasa.
- Membentuk personaliti kemanusiaan dan rasa timbang rasa dan maruah.
- Membolehkan semua individu untuk menyertai secara efektif dalam masyarakat yang bebas dan berdemokrasi di bawah undang-undang yang terbentuk.
- Membangunkan dan mengekalkan keamanan.
- Mempromosi kepada masyarakat yang berteraskan pembangunan mapan dan keadilan sosial.
(Sumber: unesco.org)
Dalam erti kata lain, Pendidikan Hak Asasi Manusia adalah ilmu yang perlu diterapkan kepada setiap individu dalam membentuk sikap hormat-menghormati terhadap hak yang dimiliki setiap orang. Ia juga meliputi tanggungjawab bersama masyarakat berbilang kaum dengan lanjutan kehidupan yang praktikal.
PHAM bukan bertujuan untuk melahirkan generasi yang suka memberontak melalui penulisan yang sinis/kritikan atau sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di jalanan untuk mendapatkan hak mereka. Sebaliknya, untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak mereka dan hak orang lain. Ia juga dapat memberikan kefahaman para pelajar dalam menghormati dan menerima perbezaan masing-masing. Begitu juga, ia dapat membantu mengurangkan masalah-masalah sosial seperti keciciran sekolah, kemiskinan, kes buli dan diskriminasi, penderaan kanak-kanak serta keganasan rumah tangga.
PHAM Meningkatkan Kesedaran mengenai Hak Sendiri
Melalui PHAM, para pelajar dapat diterapkan dengan nilai-nilai kemanusiaan melalui hak yang dapat dipelajari mereka. Majoriti para pelajar tidak mengetahui hak-hak mereka. Disebabkan kejahilan ini, maka mereka selalu menyalah anggap dan menyalahgunakan sesuatu yang mereka anggap sebagai hak. Sebagai contoh kes yang berlaku terhadap pelajar ASWARA dan Adukataruna yang mendakwa menggunakan hak kebebasan bersuara.
ERA Consumer telah mengadakan latihan literasi undang-undang dengan sokongan Open Society Institute pada 2009. Latihan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak perundangan mereka yang terbahagi kepada enam sesi undang-undang berbeza. Apa yang mengejutkan ialah hampir 65 peratus peserta tidak sedar mereka mempunyai hak-hak tersebut, manakala 55 peratus telah menyalah anggap hak yang mereka miliki.
Kita perlu mengetahui hak setiap individu, yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu hak persendirian dan hak kolektif. Kita mempunyai hak peribadi, hak politik, hak perundangan, hak ekonomi dan hak sosial.
Sebagai contoh, hak untuk menyuarakan pendapat. Hak ini boleh dilakukan apabila kita mempunyai sesuatu pendapat atau pernyataan yang ingin dibuat. Tetapi, tatacara dalam mengeluarkan pendapat juga memerlukan kita untuk menyedari bahawa kenyataan tersebut tidak boleh menyentuh sesuatu yang sensitif dan berbaur provokatif. Ini tersenarai dalam hak masyarakat yang kita seharusnya menghormatinya.
Justeru, melalui PHAM sebagai sebuah subjek yang diajarkan di sekolah, maka para pelajar dapat mengetahui hak mereka sekaligus tatacara dalam menggunakan hak tersebut.
PHAM Menanamkan Rasa Hormat dan Penerimaan kepada Perbezaan Orang Lain
Objektif utama PHAM adalah menghormati dan menerima perbezaan setiap daripada individu dalam sesebuah masyarakat. Mengambil pendapat seorang kenalan semasa sebuah seminar anjuran Friedrich Nauman Foundation pada awal bulan lalu; ”Bukankah lebih baik daripada kita bertoleransi dengan sesuatu perbezaan, kita menerima perbezaan itu dan menghormatinya?”
Toleransi dan penerimaan adalah dua perkara berbeza. Toleransi adalah bila kita ”menyabarkan diri” dengan sesuatu perbezaan, sama ada kita suka atau tidak. Di sini ia bermaksud kita tidak ikhlas menerima perbezaan ini kerana kita diminta untuk bertoleransi. Walau bagaimanapun, jika kita menghormati perbezaan dan menerima, ia akan lebih memudahkan dan kita tidak akan melalui keadaan yang tidak menyenangkan pada kemudian hari.
Kita memang mempunyai pelbagai perbezaan. Kita mempunyai pemikiran, pendapat tersendiri dan definisi hidup yang berlainan. Kita juga mempunyai warna kulit, kepercayaan agama dan bahasa pertuturan yang tidak sama. Jika kita boleh menghormati pendapat orang lain, mengapa kita tidak dapat menerima perbezaan mereka? Dan sekiranya kita mahu dihormati, mengapa kita juga tidak melakukan perkara yang sama? Pengetahuan seperti ini amat perlu diserapkan ke dalam diri para pelajar. Mereka tidak akan menyedari jika keindahan di sebalik ciptaan ini tidak diterangkan kepada mereka.
PHAM Dapat Mengurangkan Masalah-masalah Sosial seperti Keciciran Persekolahan, Kemiskinan, Buli dan Diskriminasi, Penderaan Kanak-kanak serta Keganasan Rumah Tangga.
Para pelajar juga perlu memahami hak mereka kepada pendidikan. Contohnya, jika mereka tidak mempunyai kewangan untuk meneruskan persekolahan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan bantuan. Melalui kesedaran kepentingan hak kepada pendidikan juga, mereka boleh menikmati taraf hidup yang lebih baik pada masa hadapan dan mengeluarkan keadaan keluarga yang tersepit dengan kemiskinan. Para pelajar juga mengetahui bahawa mereka mempunyai hak sebagai kanak-kanak yang mempunyai perlindungan dari pengabaian dan penderaan.
Ramai ibu bapa yang tergolong dalam ”kumpulan terdedah” (vulnerable group) seperti pekerja ladang dan orang asli yang tidak mengetahui kepentingan sijil kelahiran dalam menentukan kehidupan anak-anak mereka pada masa hadapan. Kegagalan untuk mendaftarkan anak bukanlah disebabkan mereka tidak peduli tetapi kerana mereka tidak tahu. Lantas, dengan program khas PHAM, mereka ini dapat diberikan maklumat tentang hak kepada kewarganegaraan, yang sekali gus diakui kewujudan mereka sebagai warganegara.
PHAM juga dapat menerapkan penghormatan kepada hak jantina dan dapat mengurangkan masalah keganasan rumah tangga yang banyak berlaku pada masa ini. Masih terdapat segelintir golongan lelaki yang menganggap wanita adalah harta. Menerusi pendidikan mengenai hak antara jantina ini juga dapat memberikan pemahaman kepada wanita supaya tidak diekploitasi dan dipergunakan untuk sebarang tujuan yang tidak baik.
Kepentingan PHAM
Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan ianya adalah sebuah aset sosial yang sangat berharga. Hidup bermasyarakat dengan latar belakang yang pelbagai budaya ini, memerlukan kita mempunyai kesedaran tentang persamaan, kesamarataan, kemanusia, keadilan dan nilai-nila demokrasi. (Heru Susetyo, 2006).
Secara lebih konkrit, kesedaran pelbagai budaya ini bertujuan, pada antara lain untuk: menghormati hak dalam beragama, memahami kepelbagaian bahasa, membangun sikap sensitif jantina, membangun pemahaman kritis terhadap ketidakadilan dan perbezaan status sosial, membangun sikap anti diskriminasi etnik dan keturunan, menghargai perbezaan kemampuan fizikal, dan menghargai perbezaan usia (Ainul Yaqin, 2005). Justeru, PHAM bolehlah dijadikan teras dalam menghidupkan konsep 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri.
Penutup
PHAM boleh dijadikan subjek yang berasingan ataupun dimasukkan ke dalam subjek-subjek yang lain seperti; Pendidikan Moral, Pendidikan Agama Islam ataupun subjek-subjek bahasa. Apa yang penting ialah kesungguhan kerajaan dalam menerapkan nilai-nilai kemanusiaan kepada generasi akan datang; pemimpin yang bakal mencorak kehidupan berharmoni yang lebih baik. Bak kata hikmat daripada Bertrand Russell: The good life is inspired by love and guided by knowledge.
Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia
19 April 2010