Pembentukan agensi baru tidak menyokong langkah penggabungan sektor tenaga. Suruhanjaya Tenaga juga boleh melakukan tugas ini seperti yang termaktub pada seksyen 14(1)(i) Akta Suruhanjaya Tenaga 2001. Kementerian sepatutnya menempatkan isu dasar dalam satu unit dan isu penguatkuasaan di bawah Suruhanjaya Tenaga. Dengan penubuhan agensi baru ini, dikhuatiri fungsi-fungsi yang yang bercanggah akan melambatkan sebarang perlaksanaan dasar.
Penubuhan agensi yang baru juga akan menelan belanja dari segi pengambilan tenaga kerja, pejabat yang baru, melatih semula staf dan sebagainya. WECAM berharap kerajaan meneliti semula rancangan ini. Lebih baik jika kementerian memberi tumpuan kepada dasar dan perlaksanaan dasar, manakala Suruhanjaya Tenaga menjadi penguatkuasa kepada industri tenaga yang boleh diperbaharui.
Terdapat juga persoalan mengenai fungsi Pusat Tenaga Malaysia yang kini dikenali sebagai Green Technology Corporation. Adakah fungsi tenaga yang boleh diperbaharui mereka akan ditamatkan?
WECAM juga ingin menyeru kepada pihak kerajaan untuk menggabungkan semua sektor berkaitan dengan tenaga di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air untuk kerja-kerja dasar dan pelaksanaan. Di samping itu, Suruhanjaya Tenaga akan menjadi penguatkuasa untuk sektor ini. Kegagalan kerajaan melakukan penggabungan ini akan menyababkan Malaysia mengalami krisis tenaga yang teruk.
Sebagai langkah kerajaan prihatin, kerajaan Malaysia perlu memperkenalkan ‘Tabung Penstabilan Harga Tenaga’. Tabung ini telah diwujudkan di beberapa negara maju untuk memastikan lonjakan harga minyak dan gas pasaran dunia tidak menjejaskan harga pasaran negara kita dengan serta-merta. Tabung ini telahpun dicadangkan dakan mesyuarat Panel Perunding Tenaga yang dipengerusikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Tenaga. Melalui penubuhan tabung ini, penghapusan subsidi dapat dilaksanakan dengan berkesan. Ini kerana, tabung ini dapat menstabilkan harga tenaga untuk mengiatkan perancangan bagi pengguna domestik, industri dan komersil.
Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)