Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Bekalan Air Sdn Bhd (SYABAS), Datuk Ruslan Hassan mengaku bahawa semua loji rawatan air yang terdapat di Selangor beroperasi melebihi kapasiti loji sejak lama lagi.
Menurut beliau, semua loji ini perlu beroperasi melebihi kapasiti bagi menampung permintaan bekalan air di Lembah Klang yang meningkat secara mendadak.
Akibat daripada operasi yang melebihi kapasiti, menyebabkan beberapa masalah berlaku, seperti loji tergendala dan menyebabkan bekalan air di kawasan tertentu terputus.
Bayangkan kos untuk penyelenggaraan dan kerugian yang terpaksa ditampung oleh pengguna air sekiranya loji-loji tersebut rosak.
Sebelum menuding jari kepada pihak tertentu, pengguna-pengguna juga perlu bertanggungjawab terhadap perkara sebegini. Amalkanlah penggunaan air yang bijak seperti:
- Tidak menggunakan air yang dirawat untuk mencuci kereta dan tandas
- Mengumpul air hujan (Rain Water Harvesting) bagi tujuan menyiram tanaman dan mencuci kereta.
- Memasang Dual Flush System di tandas rumah persendirian bagi tujuan penjimatan air.
- Peka terhadap kadar penggunaan air di rumah seperti membandingkan dan meneliti bil-bil air pada setiap bulan. Jika terdapat perbezaan yang ketara berlaku, bermakna berlakunya kebocoran paip air dalam rumah.
Sekiranya pengguna-pengguna boleh mengamalkan penggunaan air yang lestari, keperluan air tidak akan meningkat sehingga menyebabkan loji rawatan air perlu beroperasi melebihi kapasiti.
Selain itu, usaha kerajaan dalam mewartakan kawasan tadahan air perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan bekalan air yang berterusan pada masa hadapan.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia