Mac 23, 2021 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Isu masalah air bukanlah perkara baharu. Kerap kali dibicarakan, dilaporkan dan dibincangkan, namun seakan tiada perubahan dan tetap berulang.
Masalah yang acap kali kita hadapi ini tidak mungkin dapat berakhir sekiranya kita masih melihat perihal kewangan dan materialistik itu lebih penting daripada alam sekitar, kata aktivis alam sekitar, Amlir Ayat.
Jelasnya, pemikiran sedemikian akhirnya hanya akan menjejaskan kehidupan kita apatah lagi generasi yang akan datang walaupun hadir bermacam bentuk teknologi untuk merawat kecelaan yang kita sendiri cipta.
“Apabila kita punyai sikap materialistik dan berjangka pendek, maka kita sanggup untuk lakukan apa sahaja terhadap alam sekitar.
“Letaklah teknologi hijau apa sekalipun, ia takkan selesai jika orang masih buang sampah ke dalam sungai dan ada sikap tah mahu memelihara air,” katanya.
Seharusnya ujar Amlir, masyarakat di setiap peringkat dari bangku sekolah khususnya dan khalayak awam perlu dididik dan dipupuk kesedaran tentang peri pentingnya air atau alam sekitar secara amnya supaya kita tidak berfikiran bahawa teknologi akan dapat menyelesaikan segala masalah.
Apabila masyarakat benar-benar sedar dan faham akan peranan penting air dalam kelangsungan kehidupan manusia di muka bumi ini, maka teknologi akan berfungsi dengan sebaiknya dalam mengekalkan kelestarian dan kemapanannya.
“Kalau kita didik masyarakat untuk guna air secara berhemah, tak cemarkan sungai, maka mereka ini bukan sahaja akan menggunakan air dengan berhemah secara individu malah sebagai pemain industri atau apa juga bidang mereka, dalam kepala mereka (sentiasa berfikir) “aku mesti jaga air.”
“Sehingga satu tahap kita tak perlu belanja banyak untuk kuatkuasakan undang-undang menjaga air atau menggunakan teknologi hijau, dan wang lebih dalam aset negara itu boleh digunakan untuk tujuan lain seperti pendidikan, perubatan dan sebagainya,” kata Amlir.
Pada masa sama, kita tidak boleh melihat teknologi Barat adalah yang terbaik untuk diterapkan sebagai solusi masalah pencemaran di negara kita.
Kata Amlir, mereka telah melalui proses pembudayaan yang lama sebelum kehadiran teknologi untuk membantu usaha pemeliharaan alam sekitarnya.
Di Eropah misalnya, mereka mula sedar akan peranan penting alam sekitar seawal era 70-an dan gerakan dimulakan dan disuntik dalam modul pendidikan di sekolah, sebelum ia berkembang menjadi satu pemikiran kolektif di setiap peringkat sosial.
“Mereka bermula dengan pendidikan, kesedaran, komitmen sehinggalah wujud satu generasi yang sekarang ini merupakan hasil sistem pendidikan tersebut yang prihatin terhadap sumber alam.
“Di Malaysia kita tak boleh terus lompat ke teknologi sebab kita harus bermula dengan pendidikan. Tak boleh kita terus kuatkan perundangan sebab asas kita tak ada,” jelasnya.
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sampai-bilabila-pun-masalah-air-takkan-selesai-kalau-289469