GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTPRabu, 23 September 2020 @ 2:51 PM
Ipoh: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang menyiasat dakwaan berhubung pembuangan air najis khinzir ke Sungai Kuala Gepai, Bidor di Tapah, dekat sini, petang semalam, sebagaimana tular di media sosial.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, JAS menerima laporan mengenai perbuatan jijik hingga menyebabkan pencemaran sungai di Kampung Kuala Gepai itu, pada malam tadi.

"JAS Perak sedang merujuk kes ini ke Jabatan Veterinar dan akan menjalankan siasatan secara bersama," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, tular beberapa gambar di Facebook menunjukkan warna air sungai berkenaan yang kehitaman didakwa tercemar akibat pembuangan air najis dari ladang penternakan khinzir di kawasan berhampiran.

Seorang penduduk kampung, Abd Aziz Mohamed, 45, ketika dihubungi berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku, sebaliknya berlarutan sejak bertahun-tahun, namun tiada penyelesaian sehingga sekarang walaupun banyak aduan dibuat kepada pihak berkaitan.

Bekas tentera itu berkata, penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang turut membawa kesan bau busuk di sekitar sungai berkenaan.

Menurutnya, penduduk perkampungan Orang Asli di Kampung Chang berhampiran turut menerima kesan pencemaran sungai itu.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/623565/siasat-dakwaan-buang-air-najis-khinzir-ke-sungai