Pegawai Jabatan Alam sekitar memeriksa kontena yang mengandungi bahan buangan debu EAF dari Romania, di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). - Foto Mohd Yusni AriffinRabu, 5 Ogos 2020 | 1:48pm
KUALA LUMPUR: Malaysia tegas dalam mempertahankan pendirian dan kedudukan untuk tidak menjadi 'tong sampah dunia'.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pelbagai langkah diambil merangkumi operasi penguatkuasaan dan pemantauan perkembangan terkini di pelabuhan bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan meninggalkan sisa buangan dan toksik ke negara ini.

"Kita mengambil serius isu ini. Kita tegaskan Malaysia tidak akan jadi tong sampah dunia dan akan bertindak tegas terhadap apa juga unsur yang cuba dibawa masuk kontena mengandungi sisa toksik atau yang tidak mematuhi peraturan seperti sisa plastik dan sebagainya.

"Kementerian ini diwujudkan pada Mac lalu, pada waktu awal penularan COVID-19 dan betul-betul pada waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Kita mengesan dan menghantar pulang 13 kontena mengandungi sisa toksik dan 42 kontena berisi bahan plastik ke negara asal.

"Baru-baru ini saya sendiri turun ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) setelah kita mendapat maklumat ada 110 kontena transit ke PTP dan dalam pengurusan dihantar balik ke negara asal iaitu Romania," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain PTP, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya juga mengesan kontena dibawa masuk di beberapa pelabuhan lain seperti di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Pulau Pinang.

Beliau mendedahkan kontena berkenaan bukan sahaja dari negara rantau Asia tetapi turut membabitkan benua Eropah dan Amerika.

"Antara negara yang kita hantar bahan dikenal pasti ini termasuk Amerika Syarikat (AS). Sebanyak 21 kontena dihantar kembali ke AS melalui Pelabuhan Kuching dan 15 kontena di Pelabuhan Pulau Pinang.

"United Kingdom ada satu kontena, Poland satu, Korea Selatan dua, Vietnam dua dan semuanya 41 kontena dengan berat keseluruhan 796,553 kilogram (kg).

"Ini yang kita ambil tindakan dan kita tegaskan Malaysia mesti bebas daripada elemen bercanggah dengan Konvensyen Basel yang telah kita tandatangani," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/718183/malaysia-bukan-tong-sampah-dunia