Isnin, 15 Jun 2020 @ 12:55 PM
LEMBAGA Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengarahkan kilang sawit di Kluang, Johor untuk menghentikan operasi secara serta-merta selepas dipercayai menyebabkan pencemaran sungai, sehingga tarikh penggantungan lesennya ditarik balik oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.
Pencemaran itu membabitkan Sungai Sembrong di Kluang.
Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dalam satu kenyataan berkata, kilang itu boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 15, Peraturan-Peraturan MPOB (Pelesenan) 2005 sekiranya ia terbukti gagal mematuhi arahan tersebut.
Pihak JAS Johor bertindak menggantung lesen operasi kilang sawit tersebut mulai 3 Jun hingga 2 Julai, 2020 atau sehingga jabatan berkenaan berpuas hati dengan tindakan rawatan sisa itu.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan susulan aduan yang diterima pada 2 Jun lepas yang dibuat oleh JAS bersama Jabatan Perikanan Cawangan Kluang serta wakil penduduk kampung dari Perkampungan Orang Asli Sedohok berikutan kejadian ikan mati.
Siasatan di kawasan sepanjang Sungai Sembrong menggunakan bot dan menyusuri sungai melalui dara
tan serta menjalankan persampelan secara in-situ.
Hasil siasatan oleh JAS dan MPOB mendapati air berwarna gelap itu disyaki dari aliran punca industri yang bercampur dengan air sungai.
Pegawai penguatkuasa juga mendapati berlakunya pelanggaran syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh JAS yang berpotensi menyebabkan pencemaran akibat pelepasan efluen dari premis tersebut, kata kenyataan itu.