April 22, 2020
HARI BUMI tahun ini memberi peluang untuk kita semua merenungkan hubungan kita sebagai insan dengan alam keseluruhannya.
Mesej penting yang cuba disampaikan oleh alam semula jadi, lebih-lebih lagi seiringan dengan krisis penularan wabak sekarang ini, sepatutnya menginsafkan umat manusia akan segala kerosakan yang telah dan sedang dilakukan.
Sambutan Hari Bumi tahun ini menjanjikan perubahan persekitaran dengan memfokuskan makna hubungan antara alam, iklim dan pembangunan lestari, selain melihat kembali tumpuan isu sebelum ini tentang penyelesaian berasaskan alam seperti perhutanan dan perlindungan bakau.
Penangguhan COP26, ataupun Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2020 jelas merupakan tindakan rasional tatkala dunia sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.
Tidak dinafikan, kita berada di ambang kepupusan di mana kerosakan alam sekitar sukar dipulihkan. Kita harus menjangkakan cabaran biodiversiti dan krisis iklim akan tetap ada walaupun penularan COVID-19 mulai reda, namun cita-cita COP15 dan COP26 mesti diteruskan dan dibawa ke tahun 2021.
Perintah kuarantin ini akan memperlihatkan manusia dari semua negara, dari China ke Sepanyol, supaya lebih menghargai kesejahteraan alam sementara ia masih ada sebelum mereka kehilangan warisan semula jadi yang tak ternilai ini.
Beberapa peningkatan tahap pencemaran telah dilihat di beberapa negara dengan pergerakan orang yang terhad dan penutupan kilang dan pemberhentian sementara perniagaan.
Pokoknya, kita masih ada peluang untuk memastikan bahawa rancangan pemulihan ekonomi yang didukung oleh beberapa negara untuk krisis ini adalah mesra alam termasuklah pelaburan jangka panjang dan rancangan pertumbuhan ekonomi untuk projek iklim.
Sehingga akhir tahun ini, kita mempunyai lagi 10 tahun untuk merealisasikan hasrat pembangunan lestari, dengan beberapa pertemuan antarabangsa yang akan dijadualkan semula.
Berikut adalah 12 perkara yang anda boleh lakukan untuk menyumbang dalam misi menyelamatkan bumi:
● Jimatkan penggunaan air
● Bawa beg sendiri ketika membeli-belah
● Pilih pengangkutan awam
● Tanam pokok di halaman rumah
● Gunakan mentol jenis jimat tenaga
● Keringkan baju menggunakan ampaian dan bukan pengering baju
● Kitar semula surat khabar lama
● Guna bateri yang boleh dicas semula
● Kurangkan penggunaan pendingin hawa
● Pastikan guna keseluruhan kertas untuk satu buku nota
● Servis kereta tepat pada masanya
● Beli barang terpakai yang masih elok
Kita berharap pengalaman pandemik ini dapat membuka mata kita supaya mengatasi masalah global sementara ia belum berada di tahap kritikal daripada mengatasinya semasa ia sudah terlambat dek kerana kita leka dijamu keseronokan dunia.
-- Astro AWANI