Shah Alam: Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) akan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk memudahkan eksport sisa tidak sah kembali ke negara asal, sekiranya diarahkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.LPK, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya sedia bekerjasama sepenuhnya dengan kementerian terbabit serta agensi kerajaan lain yang berkaitan bagi membendung isu pengimportan sisa plastik melalui Pelabuhan Klang.“Tindakan proaktif yang diambil oleh LPK termasuk memberi peringatan kepada pengimport dan ejen perkapalan berhubung pengimportan sisa plastik secara tidak sah.
Atasi pengisytiharan palsu
“Pengisytiharan palsu diikrar ejen penghantaran adalah masalah utama yang wajar diatasi dari pelbagai sudut termasuk mengenakan tindakan berat terhadap pengimport dan ejennya.“Selain itu, proses risikan perlu ditambah baik, tekanan ditingkatkan terhadap negara pengeksport dan ejen perkapalan wajib menyemak perihal pelanggan mereka di pelabuhan,” katanya.BH sebelum ini melaporkan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan pihak tertentu di pelabuhan utama negara, disyaki punca Malaysia kini menjadi lokasi pelupusan sampah dari negara maju, secara haram.Berselindung di sebalik perisytiharan sebagai sisa pepejal bersih, kontena berisi sisa plastik tercemar yang tidak boleh dikitar semula dibawa masuk ke negara ini.
Dalam operasi bersepadu di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selasa lalu, 24 kontena yang dibawa dari Sepanyol dikesan berisi sisa plastik tercemar.Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dilaporkan berkata penemuan itu menunjukkan wujud salah guna kuasa dalam kalangan pihak tertentu di pelabuhan negara ini.Sementara itu, LPK berkata, import sisa plastik tidak sah pernah dibangkitkan oleh pihak berkuasa pelabuhan itu sejak 2017.“Pihak berkuasa pelabuhan mematuhi prinsip membangun dan menguruskan industri pelabuhan yang mampan, termasuk komitmen penuh terhadap perlindungan alam sekitar serta kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya.