GEORGETOWN: Sekurang-kurangnya 50 rumah di sekitar Tanjung Tokong di sini mengalami kerosakan dan dimasuki air selepas dibadai belalai air dan hujan lebat tengah hari tadi.Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, kebanyakan penduduk berada di rumah dan ada yang sedang bekerja di tempat kerja masing-masing tetapi tiada kecederaan dilaporkan.Video kejadian itu turut tersebar di media sosial.Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang berkata dalam kejadian itu, belalai air dari arah laut masuk ke kawasan sekitar kawasan Tanjung Tokong menyebabkan bumbung dan atap rumah berterbangan dan beberapa pokok tumbang.
"Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dalam kejadian ribut kira-kira 15 minit itu dan kami membersihkan serpihan struktur yang rosak akibat kejadian itu,” katanya di sini.Penduduk, Nona Khalid, 75, berkata ketika kejadian itu dia sedang duduk di luar rumahnya kerana menunggu cucu yang pulang dari sekolah, manakala suaminya pula baru pulang dari tempat kerja.“Ketika itu, angin sudah kuat dan saya yang nampak cucu berjalan terus memanggilnya masuk ke rumah manakala suami pula sedang menolak motosikal.“Saya terus memanggil suami dan menasihatinya masuk ke rumah dengan cepat selepas ternampak pusaran angin yang pelik,” katanya.Beliau berkata, ketika mahu masuk ke rumah, terdengar bunyi kuat dan sebaik menoleh, ternampak kayu serta zink jatuh di hadapan rumah.
“Jika lambat sedikit mungkin saya dan suami dihempap kayu dan zink yang jatuh dari tingkat atas blok bertentangan rumah kami.“Seumur hidup, ini kali pertama saya lihat kejadian seumpama ini dan secara kebetulan ia berlaku pada hari ulang tahun kelahiran saya ke-75,” katanya.Seorang lagi penduduk Mohd Solihi Yusof, 41, berkata kejadian berlaku ketika dia berada di pondok pengawal kawasan projek perumahan bertentangan dengan flet itu.“Sebaik selesai azan Zuhur, saya lihat pusaran angin kuat atas bumbung disusuli bunyi zink dan kayu yang pecah.“Memang saya terkejut kerana kejadian ini pertama kali berlaku depan mata namun syukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku terhadap penduduk,” katanya.