APAKAH selepas keadaan semakin buruk, baru kita sedar untuk menjaga alam sekitar, memulih semula kawasan atau sungai yang tercemar? Setakat ini, 25 sungai iaitu 16 sungai di Johor, lima di Lembah Klang, tiga di Pulau Pinang dan satu di Melaka dikategorikan sebagai Kelas Lima iaitu pencemaran teruk, menjadikan keseluruhan sebanyak 32 sungai disenaraikan dalam kategori Kelas Empat dan Kelas Lima.
Ikuti temu bual eksklusif wartawan BH Ahad, JUNITA MAT RASID bersama Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC), Yeo Bee Yin, yang berkongsi kebimbangan tahap pencemaran sungai di negara ini.
S: YB boleh kenal pasti berapa banyak sungai kita yang sudah tercemar dan disenaraikan di Kelas Lima iaitu pencemaran yang paling teruk?
J: Ada banyak sungai Kelas Lima di tiga negeri iaitu Johor, Selangor dan Pulau Pinang. Semua negeri yang paling kaya (tetapi) sungai kotor di Kelas Lima. Tiga negeri ini sahaja yang mempunyai sungai di tahap Kelas Lima. Ada 25 sungai Kelas Lima di tiga negeri ini.
S: Sungai Kelas Lima dikategori pencemaran paling teruk, dan dianggap sungai hampir mati. Bagaimana langkah untuk mengatasinya, berapa kos diperlukan untuk membaik pulih?
J: Susah nak bersihkan sungai. Bersihkan sungai bukan bidang kuasa saya tetapi di bawah Dr Xavier Jayakumar (Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli) tetapi tengok teknologi yang sedia ada ia akan ambil kos besar. Sebab itu yang pertama ialah kita perlu elak pencemaran. Apabila sudah tercemar, sangat susah (untuk baik pulih). Ia mungkin mampu bersih tetapi ia membabitkan jangka panjang dan kos tinggi. Saya bagi contoh sungai yang berjaya dipulihkan ialah sungai di Singapura yang dahulu kotor dan busuk tetapi kini sungai itu bersih dan ada ikan, binatang yang sebelum ini tiada sudah datang balik. Kesedaran (di Singapura) sangat tinggi, Marina Bay Sands adalah loji air tetapi kini boleh jalankan aktiviti air atas loji air. Kalau loji air di KL, kita tengok beza, kesedaran tiada. Apabila kita ada undang-undang, orang kata undang-undang zalim, tidak baik tetapi apabila pergi ke Singapura kata baik, kenapa kerajaan tidak ambil tindakan. Tindakan pertama ialah pendidikan kesedaran. Jadi, sekarang kita lebih kepada pendidikan.
S: Tiga negeri ini semua negeri maju dan tertinggi dalam ekonomi dan perindustrian tetapi mempunyai sungai yang sangat kotor?
J: Itu bermaksud apabila kita membangunkan industri, perkara ini (pencemaran sungai) tidak unik, bukan berlaku di negara kita sahaja, negara lain juga hadapi masalah sama. Apabila kita membangun, kita abaikan alam sekitar, selepas itu baru sedar kena pulihkan. Sekarang ke arah perindustrian, kita kena tahu apa impak alam sekitar sebab kalau kita nak pulih situasi dahulu kena kos tinggi, jadi kesinambungan pembangunan penting.
S: Kalau 25 sungai itu yang disenaraikan Kelas Lima, bagaimana nak jadikan Kelas Empat. Kos macam mana?
J: Saya tidak tahu kos tetapi kena tengok pencemaran berpunca sumber dari mana, sama ada ada boleh dikawal atau sumbernya tahap apa yang menyebabkan Kelas Lima. Ada yang boleh dipulih cepat dan ada tidak boleh dipulihkan dengan kos rendah. Untuk kita fokus tahun ini, tengok yang mana paling mudah dipulihkan. Kita hendak tengok daripada 25 sungai ini. Kalau lima kita boleh kawal, sudah sangat baik. Kalau kawal daripada sumber, sudah boleh dipulihkan tetapi ada juga yang tidak dapat pulih.
S: Sungai Kelas Lima maknanya akan ada sungai mati jika tiada langkah segera dijalankan untuk memulihkan pencemaran. Mungkin tempoh setahun dua ini akan ada lebih banyak sungai disenaraikan sebagai sungai mati?
J: Kelas Lima belum mati tetapi sungai dalam Kelas Lima termasuk sungai yang sudah mati. Daripada ini kita perlu kajian lagi yang mana sungai sudah mati, sebab ia kelas terendah. Ada sungai yang sudah mati, kita sedang buat analisis. Saya sasarkan lima sungai sahaja yang kita boleh betul-betul kawal pencemaran.
S: Sesuatu memalukan bagi negeri maju apabila mempunyai 25 sungai disenaraikan Kelas Lima?
J: Bagi saya, setiap negara atau bandar pernah mengalami situasi ini. Apabila membangunkan ekonomi, mereka mengabaikan alam sekitar. Selepas tahu dan pulih, akan ada pembangunan lestari. Kita dalam proses ini, kita bukan unik berbanding negara lain. Contohnya Sungai Thames di London juga sama. Dahulu sangat kotor sebab membangun dengan cepat. Selepas itu dia sedar. Kita sama sahaja, setiap bandar akan mengalami status ini. Status kita sekarang ialah kita sudah faham dan sedar. Selepas itu kita akan menjadi lebih baik sebab sudah sedar dan akan ambil tindakan. Seperti negara maju lain, kita boleh memulihkan sungai kita tetapi akan mengambil masa 20 hingga 30 tahun, tetapi kalau kita dapat tingkatkan Kelas Lima kepada Kelas Empat untuk lima sungai tahun ini yang ada pencemaran tertentu, kita sudah bagus. Ada juga yang tidak dapat atasi apabila semua tanah, air tercemar, itu tak boleh (pulih) sebab tak tahu punca pencemaran. Yang paling senang ialah untuk kita mencari punca sumber pencemaran untuk penguatkuasaan dan baiki. Kita akan buat analisis dahulu.
S: Masalah sampah hanyut di laut adalah akibat langsung daripada pencemaran sungai kita yang teruk?
J: Semua itu daripada penguatkuasaan dan pencemaran. Kesedaran, pendidikan penting, saya rasa kalau pergi ke Jepun, orang kata Jepun tiada tong sampah tetapi tengok tiada sampah di Jepun sebab orang masukkan sampah dalam beg dan membuangnya apabila balik ke rumah. Kesedaran ini penting. Saya sangat optimis sebab generasi muda ada kesedaran alam sekitar yang lebih baik. Jadi, saya rasa lebih baik menggunakan pendekatan pendidikan, selain peranan kerajaan dan media yang menyampaikan mesej pemuliharaan alam sekitar. Setiap negara maju memang seperti ini, proses negara membangun nak jadi maju.
S: Ada sungai yang boleh dipulihkan?
J: Makan kos besar. Apa yang kita boleh bantu ialah kawal pencemaran. Oleh itu kalau sungai Kelas Lima, kalau bukan dari punca sumber boleh dikenal pasti, saya tidak rasa boleh pulih.
S: Sungai Kelas Empat juga banyak?
J: Saya sudah membentangkan senarai ini dalam Kabinet, dua minggu lalu. Saya bukan boleh pulihkan pencemaran. Sukar. Untuk negara lain, menteri yang jaga JAS (Jabatan Alam Sekitar) adalah menteri yang sama jaga konservasi, perhutanan, binatang, air, pencemaran dan pengurusan sisa pepejal di bawah satu sahaja menteri alam sekitar tetapi saya jaga Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, jaga satu sahaja. Jadi, kita perlu koordinasi (dengan kementerian berkaitan).
S: Bagaimana YB melihat keseluruhan tahap kualiti air sungai di negara kita?.
J: Kualiti air sungai di Malaysia dinilai berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan dan diterjemahkan dalam bentuk Indeks Kualiti Air (IKA) bagi mengkelaskan tahap kebersihan, kegunaan dan pencemaran air sungai sama ada ia ‘Bersih’, ‘Sederhana Tercemar’ atau ‘Tercemar’. Berdasarkan data program pengawasan kualiti air sungai di 471 sungai di Malaysia, 32 sungai diklasifikasikan sebagai tercemar Kelas Empat dan Kelas Lima. Kesemua 32 sungai ini menunjukkan dua parameter utama iaitu Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Ammonia Nitrogen (NH3N) berada di tahap tinggi dan melebihi standard ditetapkan di negara ini. Parameter ini menunjukkan punca utama kemerosoton kualiti air sungai adalah disebabkan oleh air kumbahan.
S: Mengenai kementerian, boleh YB jelaskan inisiatif yang dijalankan dan sasaran pelaksanaannya.
J: Setiap inisiatif ada KPI (petunjuk prestasi utama). Setiap suku tahun, kita kena tengok inisiatif adakah sudah capai berapa peratus. Kita ada sasaran, kita tak mesyuarat saja, tanpa ada tindakan. Apa yang kita mahu ialah tindakan di peringkat bawah, tindakan dan beri impak kepada rakyat. Setakat ini ada 77 inisiatif mungkin sampai hujung tahun akan ada 100 lebih inisiatif tetapi kita lebih sistematik. Selepas itu apa kita nak buat, sampai hujung tahun sekurang-kurangnyanya kita capai 75 hingga 80 peratus tetapi ini tindakan semua ini ada impak yang kita memang ukur, kita kira bagaimana menilai pencapaian kita dengan KPI ini sebab kita hendak buat inisiatif untuk menetapkan arah kepada kementerian.
S: Ada berapa sektor dalam inisiatif yang dikenal pasti?
J: Ada tiga iaitu sektor tenaga, sektor sains, teknologi dan inovasi serta sektor alam sekitar dan perubahan iklim. Ketiga-tiga ini setiap satu sektor ada 20 lebih inisiatif pada masa ini, satu lagi secara umum. Kita tidak sahaja mahu mencapai KPI tetapi untuk kita capai dengan keputusan yang baik atau buat dengan cemerlang. Bagaimana nak buat? Kita kena ada satu budaya kerja baik. Inisiatif ini juga bagaimana nak buat MESTECC sebagai tempat kerja terbaik, sebab kita nak pastikan budaya. KPI tidak akan memotivasikan seseorang untuk mencapai yang terbaik tetapi budaya kecemerlangan, disiplin dan integriti. Nilai MESTECC adalah integriti kecemerlangan dan fokus masa depan, kita nak nilai ini dibudayakan di MESTECC untuk mencapai semua inisiatif ditetapkan. Banyak inisiatif boleh dibuat. Bagi saya, yang paling penting sekarang ialah buat budaya kerja di kementerian supaya kita dapat pencapaian yang terbaik kerana apabila kita buat yang terbaik, rakyat akan dapat terbaik dari kita.
S: Ada inisiatif jangka pendek yang membabitkan langkah kerajaan PH menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU)?
J: Satunya mengenai tenaga boleh diperbaharui (RE). Dalam manifesto kita kata nak tingkatkan 20 peratus RE dalam penjanaan elektrik menjelang tahun 2025. Sekarang semua rancangan untuk mencapai matlamat dan kita sudah buat pembaharuan. Kita ada 33 Megawatt (MW) untuk dapat 30 peratus RE tidak termasuk hidro besar. Kalau ada, hidro besar 35 peratus, itu menjelang 2025. Ini ada dalam manifesto. Keduanya untuk menurunkan pelepasan karbon, ketiga manfaatnya ialah RE boleh menjana lebih banyak pekerjaan. Contohnya, kalau penjanaan api dari arang batu, gas, ia boleh jana jauh lebih rendah kepada tenaga boleh diperbaharui, jadi kalau kita boleh ada RE bermaksud lebih banyak pekerjaan. Jadi ada tiga manfaat untuk menyelamatkan dunia. Dalam manifesto juga kita mahu kesinambungan kelestarian alam sekitar. Satunya nak buat penguatkuasaan daripada segi pencemaran. Orang yang cemarkan sungai. Kita tetapkan sasaran 100 peratus peningkatan kes penguatkuasaan untuk pencemaran bagi mengawal pencemaran tahun ini dan tahun depan kita mahu 100 peratus lagi. Kita memang bersungguh-sungguh menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar. Dulu kalau awak cemar alam awak tak takut kerana penguatkuasaan pun tidak ada, peguat kuasa tak tahu atau dapat bagi (rasuah) sikit, kes selesai. Kali ini kita mahu meningkatkan penguatkuasaan.
S: Isu perubahan iklim pertama kali diletakkan di bawah kementerian YB. Langkah itu dijalankan bagi membantu masalah pencemaran juga?
J: Ini sebab kenapa kita buat kementerian perubahan iklim, pertama kali dalam sejarah kementerian ini diwujudkan. Kita nak adaptasi kalau ada pemanasan global 2 celsius akan bawa impak sangat negatif kepada rantaian makanan, cuaca kita. Cuaca termasuk taburan hujan dan juga air, semua ini ada impak. Bagaimana kerajaan dan negara nak adaptasi senario 2 celsius ini. Pada tahun ini kita buat Pusat Perubahan Iklim untuk mitigasi dan adaptasi. Secara keseluruhannya ia bagi menyediakan negara untuk lebih bersiap sedia kepada fenomena perubahan iklim, supaya lebih ramai rakyat Malaysia tahu apa itu perubahan iklim.
S: Pusat Perubahan Iklim ini bila akan dibuka?
J: Kita akan buat sebelum akhir tahun ini. Pusat itu tak penting tetapi apa yang lebih penting ialah kerja yang dibuat. Apa yang penting, kerja apa yang boleh dibuat. Bila saya jadi menteri, pertama saya tengok kita ada banyak pelan tindakan, hala tuju, semua ada tetapi pelaksanaan tidak ada. Jadi, bagi saya bukan rancangan dalam kertas sahaja. Memang kena ada rancangan tetapi lebih penting kena ada tindakan, bila ada pelan kita kena buat. Ini penting.
S: Mengenai dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) MESTECC bagi membiayai projek penyelidikan oleh usahawan dan penyelidik bertujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat. Bagaimana sambutannya?
J: Dana tak banyak. Setiap kali kita buat R&D dan cadangan untuk buat R&D, apa yang kita kurang ialah strategi dan pembahagian peruntukan secara strategik. Semua baik tetapi bila tidak ada lebih menyeluruh, ia tiada nilai. Apa yang kita buat ialah kita tengok peruntukan R&D apa yang bidang strategik untuk kerajaan melabur dari segi R&D. Kita tidak bagi sewenang-wenangnya, kita lebih strategik, apa bidang lebih manfaat kepada pembangunan negara dan pembangunan. Peruntukan R&D dalam MESTECC tidak banyak berbanding dalam peruntukan R&D di Kementerian Pendidikan. Jadi apa yang kita buat lebih kepada industri dan ekonomi.
S: Agensi Akademi Sains Malaysia ada usaha untuk menarik minat saintis Malaysia menyumbang kepada penyelidikan sains dan teknologi di Malaysia. Boleh YB kongsi lebih lanjut perubahan dan peranan yang akan dilakukan?.
J: Tahun ini kita akan adakan satu inisiatif iaitu kerajaan akan kongsi penyelidik dengan syarikat swasta. Kita sasarkan 100 penyelidik MESTECC diletakkan ke industri, tidak payah bayar gaji (kerana) gaji bawah MESTECC tetapi akan guna penyelidik. Sasaran kita ada dua iaitu pertama supaya boleh membantu syarikat dengan penyelidik yang kita ada dan kedua supaya penyelidik tahu apa permintaan, apa yang diperlukan oleh industri supaya tidak buat penyelidikan syok sendiri, membazir, tidak guna kepada ekonomi. Mereka (penyelidik) kena faham industri dan pasaran. Kita juga akan buat program lain supaya penyelidik kerajaan boleh berhubung lebih rapat dengan industri supaya ada jambatan penghubung.
S: Malaysia masih ketinggalan dalam amalan kitar semula. Pelbagai kempen sudah digerakkan oleh kerajaan dan swasta, namun kesedaran untuk kitar semula dalam kalangan rakyat dikatakan masih belum memuaskan. Langkah drastik yang dijalankan oleh MESTECC?.
J: Program kitar semula ini di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Kita ada buat program kesedaran juga. Saya rasa rakyat tahu mengenai amalan kitar semula sebab di sekolah kita buat. Penting untuk kita ada pelan komunikasi media sosial dan media massa untuk menceritakan mengenai alam sekitar, perubahan iklim. Ini (kitar semula dan alam sekitar) terletak di bawah tiga kementerian iaitu KPKT, MESTECC dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli. Tiga kementerian yang membuat kesedaran kempen tetapi untuk MESTECC kita lebih kepada media sosial dan media massa.