September 23, 2022 @ 12:00pm
Kuala Lumpur: Megah menayang kemewahan hidup seperti banglo dan kereta besar, barangan peribadi berjenama serta percutian luar negara kepada pengikut di media sosial.

Bukan itu sahaja, mereka turut memberikan testimoni diri sendiri seperti menunjukkan penampilan ramping dan putih melepak yang didakwa selepas memakai produk keluaran mereka sendiri.

Itu antara taktik pemasaran digunakan segelintir pengasas produk kosmetik dan kecantikan untuk memerangkap 'mangsa' menjadi stokis dan ejen bagi membeli produk mereka.

Secara logiknya ke mana produk itu dijual sedangkan ia tidak kelihatan di pasaran kalau bukan 'pelanggan' itu sebenarnya adalah ejen dan stokis mereka sendiri.

Berkongsi pengalaman pernah terjebak dengan perangkap golongan itu, Ain, 35, berkata dia tertarik dengan gaya hidup mewah ditayangkan seorang pengasas produk kosmetik.

Katanya, keadaan itu membuatkannya menjadi yakin apatah lagi janji manis pengasas yang mendakwa produknya mudah dijual kerana ramai pelanggan mengulangi tempahan.

"Pengasas itu mendakwa produk krimnya laris dan menerima maklum balas yang baik daripada pelanggan. Saya pun beli puluhan kotak dan cuba menjualnya kepada orang, tetapi hanya laku beberapa sahaja.

"Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa pakai sendiri untuk menghabiskan baki stok, tetapi lama-kelamaan kulit saya pula menjadi gatal, menggelupas dan kasar.

"Akhirnya saya terpaksa buang semua stok terbabit kerana tidak mahu merisikokan diri sendiri dan orang lain," katanya yang kerugian lebih RM1,500.

Suri rumah, Ira, 40, pula berkata dia hanya mencuba nasib menjadi ejen produk kecantikan dengan niat mahu membantu meringankan beban suaminya.

Namun, katanya, lain pula berlaku selepas dia termasuk dalam perangkap apabila perlu membeli secara pukal (kuantiti ditetapkan) bagi melayakkannya menjadi ejen dan mendapat keistimewaan harga lebih murah berbanding pelanggan biasa.

"Pada mulanya, saya perlu membayar sejumlah yuran pendaftaran untuk menjadi ejen dan diberikan produk pada harga jauh lebih murah, tetapi perlu membeli dengan kuantiti banyak atau ditetapkan.

"Dalam beberapa bulan, saya kurang aktif kerana sibuk menguruskan anak kecil sehinggakan suatu hari saya mahu membeli stok baharu, tetapi saya kecewa apabila dimaklumkan perlu mendaftar semula sebagai ejen dengan kadar yuran lebih mahal atau saya hanya layak mendapat produk itu pada harga seperti pelanggan biasa.

"Dari situ barulah saya tersedar rupanya golongan macam saya inilah sebenarnya sumber pendapatan yang membuatkan pengasas itu semakin kaya-raya," katanya.

Sementara itu, Amy, 30, berkata dia hanya mampu bertahan dua bulan sahaja kerana perlu mengejar sasaran ditetapkan 'pengasas' produk itu.

"Konon produk itu mudah laku dan kita pun percaya untuk menjadi ejen kerana yakin dapat menjana pendapatan apatah lagi pada peringkat awal diberikan produk tanpa perlu bayar apa-apa.

"Tetapi kita yang jual ini tahulah macam mana susahnya hendak dapat pembeli kerana jual produk tidak popular walaupun sudah berusaha pelbagai cara pemasaran di media sosial," katanya.

'Bukan nak kaut untung semata-mata'

Individu yang mahu mengeluarkan sesuatu produk kecantikan perlu mempunyai matlamat jelas dalam perniagaan, bukan semata-mata mahu mengaut keuntungan sebaliknya turut mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Pengasas produk kecantikan Noir Health & Beauty Sdn Bhd, Eriyca Baiduri Abd Rashid atau mesra disapa Madammu berkata, seseorang itu perlu mempunyai keazaman tinggi untuk mengeluarkan produk yang bagus dan berkualiti bagi membolehkan perniagaan diusahakan bertahan lama.

"Apabila kita berniaga, pastikan ada objektif terutama untuk memastikan perniagaan itu untuk jangka masa panjang dan paling penting produk memiliki kualiti yang baik.

"Selain mengeluarkan produk yang betul-betul orang guna dan boleh dijual, pastikan kita menjamin pendapatan ejen dan stokis. Jangan aniaya atau membebankan mereka dengan perkara tidak sepatutnya," katanya.

Menurutnya, seseorang usahawan itu perlu sentiasa menambah baik dan memanfaatkan inovasi terkini bagi kelancaran operasi.

"Selain rajin mempromosikan produk, kita perlu ada inovasi sistem perniagaan. Ejen umpama orang tengah berperanan dalam mempromosikan produk dan tempahan pelanggan akan masuk secara langsung ke dalam sistem di ibu pejabat.

"Ejen tidak perlu pegang stok dan ini menjamin kebajikan mereka, contohnya jika mereka tidak boleh menjual, mereka tidak akan terbeban dan menanggung kerugian modal (wang)," katanya.

Garis panduan jaga kebajikan ejen, stokis

Satu garis panduan baharu perlu diwujudkan atau undang-undang sedia ada ditambah baik bagi memelihara kebajikan ejen mahupun stokis produk kosmetik di negara ini.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, taktik segelintir pengasas memperdaya ejen dan stokis dalam melariskan produk mereka yang bukan disasarkan kepada pengguna akhir diibaratkan peniagaan berkonsepkan pemasaran berbilang tingkat (MLM) atau jualan langsung.

Menurutnya, perniagaan produk kosmetik sebenarnya mampu memberi kekayaan kepada pengasas menyebabkan ramai orang berlumba-lumba mengeluarkan produk sendiri lalu menunjuk-nunjuk kekayaan mereka.

"Sasaran mereka bukan pengguna akhir kerana banyak pilihan produk di luar, tetapi sebenarnya adalah taktik pengasas itu mahu menarik 'orang' (mangsa) terjebak dan ia adalah satu amalan perniagaan tidak beretika.

"Dari segi bagaimana tarikan pemasaran itu, tiada satu perundangan tertentu seperti kesalahan wujud unsur penipuan atau mengelirukan dan ia sepatutnya perlu diwujudkan kerajaan untuk melindungi pengguna," katanya.

Syarikat guna konsep ejen, stokis perlu lesen

Setiap syarikat yang mengamalkan konsep sistem stokis dan ejen perlu mendaftar lesen untuk jualan langsung bagi memelihara kepentingan semua pihak terutama jika berlaku sebarang masalah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan berkonsep seumpama itu tanpa lesen menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP) 1993.

"Perniagaan berkonsepkan sistem stokis dan ejen antara ciri-ciri perniagaan jualan langsung yang tertakluk di bawah AJLSAP 1993.

"Dalam isu ini, kebanyakan pengasas produk dilihat mengaplikasikan modul stokis dan ejen seperti yang digunakan dalam industri jualan langsung, tetapi tidak mendaftarkan perniagaan dengan KPDNHEP sebagai perniagaan jualan langsung,"katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2022/09/884786/tayang-harta-tarik-mangsa