Ogos 21, 2022 @ 3:34pm
Kuala Lumpur: Kenaikan harga makanan pada masa ini bukan luar biasa berikutan ia dipengaruhi faktor kenaikan harga bekalan asas dan bahan mentah pada masa ini.
Pemilik restoran, Haslinda Rahman, 44, berkata, kenaikan itu bukan suka-suka atau tujuan mengaut keuntungan lebih sebaliknya ia hakikat yang ditanggung golongan peniaga makanan sepertinya disebabkan kenaikan harga barangan.
"Memang banyak barang naik. Boleh dikatakan antara 10 hingga 30 peratus barangan mentah seperti ayam, minyak masak, telur, ikan dan lain-lain lagi naik ketara.
"Jadi, untuk kelangsungan perniagaan, saya terpaksa naikkan juga harga jualan antara 10 kepada 15 peratus bergantung kepada jenis makanan.
"Itupun sebenarnya memang tiada untung tetapi kami cuba untuk bertahan sedaya mungkin dan pada masa sama tidak mahu membebankan pelanggan.
"Namun saya akui tidak boleh tahan lama mungkin kalau harga barangan naik lagi nanti kita akan gunakan cara lain termasuk terpaksa umumkan kenaikan antara 20 hingga 25 peratus supaya dapat tampung kos dan memastikan perniagaan kekal," katanya mengulas mengenai harga makanan mahal pada masa ini.
Bagi Muhd Alif Suaimi, 32, dia sudah mula menaikkan harga jualan makanan di gerainya sejak pertengahan Julai lalu bagi memastikan perniagaan diusahakan terus bertahan dengan cabaran semasa.
"Semua makanan macam laksa, rojak, mi rebus dan bihun sup saya naikkan serentak daripada RM5 kepada RM6 satu pek.
"Saya terpaksa naikkan RM1 setiap pek makanan kerana harga bahan mentah seperti telur, daging, timun dan cili api mengalami trend kenaikan antara 30 peratus hingga 40 peratus.
"Jadi, kenaikan ini tidak hairan kalau pergi mana-mana pun sama ramai peniaga makanan buat macam itu demi kelangsungan perniagaan," katanya.
Katanya, dia mengambil pendekatan itu untuk menyeimbangkan antara keuntungan dengan modal dan kos berkaitan bagi mengekalkan kualiti makanan sedia ada.
"Buat masa ini kita masih bertahan dengan harga macam ini kerana kita pun ada kos untung rugi perlu diambil kira.
"Kalau dulu kami boleh dapat keuntungan 50 peratus manakala sebahagian lagi adalah modal tetapi sekarang walaupun harga jualan dinaikkan kami cuma dapat untung dalam 30 peratus sahaja daripada setiap makanan.
"Namun apapun, saya amat bersyukur sambutan pelanggan masih sama macam dulu, malah mereka lebih memahami keadaan kami sekarang," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kenaikan harga makanan di gerai mahupun restoran pada masa ini berasas berikutan cabaran semasa.
"Kita sedia maklum kenaikan bahan mentah dan asas disebabkan faktor seperti kesan Covid-19 yang masih berlaku, masalah geopolitik antara Rusia dan Ukraine selain bahan lain seperti seperti dedak dan soya diimport dari luar negara hingga menyebabkan gangguan bekalan dalam negara.
"Jadi, peniaga terpaksa menjual mengikut harga yang ditawarkan pembekal kepada mereka iaitu jika pembekal meletakkan harga tinggi, mereka juga akan menaikkan harga jualan kepada pengguna itu bukan satu kesalahan dan trend kenaikan harga makanan ini tidak patut dipersalahkan kepada peniaga sebaliknya kita perlu lihat semua faktor.
"Tidak dinafikan mungkin ada juga segelintir peniaga mengambil kesempatan tetapi pengguna boleh membuat aduan dan tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011," katanya.
Selain itu, pengguna perlu memahami kenaikan harga disebabkan keadaan semasa, katanya, dan kerajaan juga perlu melaksanakan mekanisme untuk mengawal harga dan menjamin sekuriti makanan dalam negara.
"Ada keadaan tertentu kerajaan melakukan intervensi contohnya mengawal harga barangan keperluan asas seperti ayam, telur dan minyak masak yang tiada pilihan gantian dengan memberikan subsidi.
"Tetapi untuk barangan seperti bawang misalnya jika ada pilihan import lagi murah pilihlah negara pengeluar yang tawarkan harga lebih murah.
"Selain itu, kerajaan juga boleh mencari kaedah lain supaya pengeluaran barangan asas lain seperti beras atau sayur-sayuran ke tahap maksimum supaya rakyat bergantung sepenuhnya dengan bekalan dalam negara kerana bahan mentah dari luar negara tiada kawalan harga serta masalah pertukaran mata wang atau isu lain," katanya.