Jun 2, 2022 @ 6:03pm
KUALA LUMPUR: Pengenalan 'kadar harga jalan' atau caj kesesakan wajar dilaksanakan namun kerajaan perlu memastikan perkhidmatan pengangkutan awam mencukupi.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata perkhidmatan juga harus diyakini agar pengguna tiada alasan untuk menggunakan kenderaan sendiri ke pusat bandar sehingga menyebabkan kesesakan.
Beliau berkata, caj berkenaan mampu mengawal kesesakan dan ia sudah dilaksanakan oleh negara jiran iaitu Singapura bagi mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak.
Bagaimanapun, katanya, sebelum berbuat demikian, kerajaan wajar memastikan Transit Aliran Massa (MRT) 3 yang siap kelak dapat memudahkan orang ramai untuk berurusan di pusat bandar.
"Penyediaan kemudahan feeder bas yang baik di mana pengguna dapat sampai ke destinasi yang ingin dituju dan kemudahan meletakkan kereta di pinggir bandar juga dapat membantu pengguna.
"Jika semua kemudahan sudah mencukupi, saya rasa caj atau bayaran memang wajar dilaksanakan kerana tiada sebab mengapa orang ramai tidak boleh menggunakan pengangkutan awam untuk masuk ke pusat bandar," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Yusof berkata, individu yang membawa kenderaan sendiri untuk ke pusat bandar berbuat demikian kerana ia adalah untuk kemudahan dan keselesaan diri sendiri.
Katanya, golongan itu mampu dan sanggup membayar caj yang ditawarkan demi kepentingan mereka.
"Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit untuk membina pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan rakyat, tetapi jika tiada yang menggunakannya, ia satu kerugian.
"Kalau kerajaan boleh melakukan simulasi apabila MRT3 beroperasi kelak dan terbukti pengangkutan awam ini dapat sampai ke destinasi yang memudahkan perjalanan pengguna tanpa ada kesukaran, saya rasa memang tiada masalah," katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan dijangka mempertimbangkan melihat semula struktur bayaran letak kereta di dalam bandar setelah projek MRT3 siap kelak.
Ia termasuk melihat keperluan untuk mengenakan fi alam sekitar dan bayaran kesesakan kenderaan apabila sistem jaringan pengangkutan awam yang sudah lengkap diwujudkan.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/962038/kadar-harga-jalan-tangani-kesesakan