Mac 16, 2022 @ 4:08pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas bagi melindungi data peribadi pengguna memandangkan ia dilihat mudah dimanipulasi penjenayah siber.

Timbalan Setiausaha Agung FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin, berkata sikap tunggu dan lihat serta bertindak hanya selepas ada pengguna terjerat, tidak sepatutnya berlaku.
"Cari dalang selepas ada pengguna terjerat, (tindakan) yang sudah terlambat kerana scammer ini agak licik dan lebih bijak daripada kita.

"Untuk mengelak jenayah sebegini, kita perlu bersifat proaktif, bukan reaktif. Pihak berkuasa perlu melindungi data peribadi pengguna dengan lebih tegas supaya scammer tak berpeluang mendekati rakyat Malaysia dengan begitu mudah.

"Isu utama jenayah penipuan digital adalah bagaimana data peribadi pengguna senang didapati golongan penipu ini? Sebagai contoh isu 'macau scam', sindiket ini tahu semua maklumat terperinci pengguna, termasuk nombor akaun bank dan kad pengenalan mereka," katanya kepada BH.

Muka depan BH kelmarin melaporkan peringatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kepada orang ramai susulan peningkatan mendadak penipuan pelaburan yang dipromosikan menerusi Telegram.

SC mendedahkan, sejak Januari lalu, sebanyak 47 aduan dan pertanyaan diterima berhubung skim pelaburan haram yang menawarkan peluang pelaburan tidak wujud dan pulangan tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam tempoh 24 jam.

Mengulas lanjut, Nur Asyikin berkata, selari dengan sambutan Hari Pengguna Dunia, kelmarin yang mengangkat tema Kesaksamaan dalam Kewangan Digital, amat penting untuk pihak berkuasa memastikan data peribadi pengguna dilindungi dan bersifat 'privasi' khususnya bagi golongan rentan yang kurang mahir dalam aspek kewangan digital.

Beliau berkata, sikap kurang waspada masyarakat dan mungkin ada yang terhimpit dengan desakan ekonomi menyebabkan mereka terjebak dengan tawaran untuk mendapat wang secara mudah.

Katanya, setakat 16 Mac tahun ini, FOMCA menerima lapan aduan kes pelaburan dan kes itu dirujuk kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Pengguna perlu sentiasa berwaspada dengan iklan pelaburan yang tidak masuk akal dan jangan terburu-buru dalam membuat keputusan untuk melabur.

"Sentiasa rujuk pihak berkaitan seperti SC sama ada pihak pelabur berkenaan berdaftar atau tidak," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/934806/data-peribadi-pengguna-bocor