Pengguna internet yang marah dengan kenaikan fi daftar masuk AirAsia berkongsi tangkap layar dari laman sesawang syarikat itu yang menunjukkan ia dinaikkan kepada RM100 mulai bulan depan.
Feb 25, 2022 5:37 PM
Fi daftar masuk (check-in) di kaunter AirAsia yang dilapor akan meningkat kepada RM100 bermula 1 Mac 2022 dikembalikan semula kepada kadar asal iaitu RM20 bagi penerbangan domestik manakala RM30 untuk penerbangan Antarabangsa selepas heboh di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah berkata, fi tersebut kembali kepada kadar asal selepas ia tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Terdahulu, semakan MalaysiaNow mendapati kenaikan fi tersebut mula heboh pada 22 Februari lalu apabila orang ramai memuat naik tangkapan skrin soalan lazim (FAQ) AirAsia bahagian fi daftar masuk di media sosial.

Hebahan itu sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai yang merasakan kenaikan tersebut sebagai tindakan yang tidak wajar dan terlalu tinggi.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di laman sesawang syarikat penerbangan tambang murah itu pada 25 Februari mendapati kadar fi itu sudah kembali kepada sebelumnya.

Saravanan berkata, semakan yang dilakukan pihaknya mendapati tujuan kenaikan fi tersebut adalah disebabkan Covid-19 selain ingin menggalakkan pengguna melakukan pendaftaran secara dalam talian, kiosk atau aplikasi AirAsia.

Tambah beliau, pihaknya turut mendapati kenaikan itu dilakukan tanpa kebenaran Mavcom yang kini dipercayai sedang melakukan siasatan terhadap perkara berkenaan.

“Kami dimaklumkan menerusi aduan pengguna dalam media sosial Fomca, selain dokumen menunjukkan kenaikan bayaran fi kepada RM100 yang dihebahkan dalam platform tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pemeriksaan yang dilakukan Fomca menerusi ‘insider’ mendapati Mavcom kini sedang siasat dan AirAsia dijangka akan membuat keterangan berhubung perkara ini dalam masa terdekat.

“Sekiranya dakwaan mengenai AirAsia benar bahawa mereka ingin naikkan kadar fi kepada RM100, Fomca menggesa supaya Mavcom melakukan siasatan menyeluruh dan ambil tindakan sewajarnya.”

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Mavcom mengesahkan pihaknya telah meminta AirAsia untuk mengkaji semula “keputusan mengejut” syarikat itu untuk menaikkan fi bayaran di kaunter daftar masuk.

Suruhanjaya itu turut berkata AirAsia turut meminta AirAsia memberi penjelasan mengenai keputusan tersebut.

AirAsia ketika dihubungi MalaysiaNow, turut meminta orang ramai merujuk kepada pautan FAQ syarikat tersebut berhubung kadar fi pendaftaran masuk di kaunter.

“Terima kasih kerana mengutarakan perkara ini. Ini adalah kadar pendafataran https://support.airasia.com/s/article/counter-check-in-fee?language=en_GB,” katanya kepada MalaysiaNow

Sumber: https://www.malaysianow.com/berita/2022/02/25/airasia-batal-kenaikan-fi-daftar-masuk-selepas-campur-tangan-mavcom/