Januari 7, 2022 @ 5:11pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan supaya kerajaan mengimport ayam dan telur bagi mengelak kenaikan harga dan monopoli bekalan itu di negara ini.
Presidennya, Prof Datuk Dr N Marimuthu, berkata Malaysia bukan negara pengeluar makanan dan sehingga kini, mengimport makanan bagi memenuhi permintaan dalam negara.
"Kita mengimport makanan sehingga RM60 bilion setahun. Semua makanan ketika ini juga sudah ada permit import syarikat (AP) seperti ikan, kubis dan kelapa.
"Jadi, teruskan saja import makanan supaya tiada yang monopoli barangan ini dan rakyat tidak menanggung kenaikan harga barangan," katanya sambil menyuarakan rasa kecewa dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga ayam dan telur.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, harga ayam dan telur dijangka naik selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), yang dilaksanakan untuk menstabilkan harga barangan keperluan asas, tamat 4 Februari ini.
Beliau berkata, langkah itu terpaksa diambil sebagai mengimbangi situasi 'menang-menang' antara kumpulan pengguna dan penternak di negara ini.
Marimuthu berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan pandemik ketika ini, harga makanan tidak sepatutnya mengalami kenaikan.
"Kerajaan sepatutnya faham dengan situasi rakyat sekarang ini dan tidak bertindak menaikkan harga makanan.
"Jangan terlalu menjaga kepentingan segelintir pihak sahaja sehingga rakyat yang terpaksa menjadi mangsa, menanggung kenaikan harga barangan ini," katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/908908/fomca-cadang-import-ayam-telur