November 29, 2021 10:19 PM
PETALING JAYA: Berdepan dengan lambakan aduan rakyat mengenai kenaikan harga barang keperluan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) N Marimuthu menawarkan dirinya menjadi “penasihat hal ehwal pengguna” kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, memandangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) gagal menurunkan harga barang seperti dijanjikan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin perlu menambah satu lagi penasihat peribadi, walaupun mempunyai kementerian bagi setiap kategori.

Marimuthu berjanji melakukan tugas itu untuk upah lebih rendah daripada RM55,000 yang dibayar kepada penasihat-penasihat Ismail Sabri yang sedia ada.

“FOMCA tidak putus-putus menerima aduan rakyat mengenai lonjakan harga barang dan kerajaan gagal menyemak trend ini. Mereka tidak faham kita tiada kuasa untuk mengawal peniaga.

“Banyak lagi perlu dilakukan oleh kementerian, bukan sekadar berkata-kata saja. Saya nasihatkan menteri pergi sendiri ke pasar untuk melihat keadaannya. Saya rasa dia kini sibuk di Sarawak untuk pilihan raya akan datang,” katanya kepada FMT.

Beliau tidak menyebut nama menteri tersebut Alexander Nantha Linggi yang berasal dari Sarawak.

Marimuthu, yang juga Presiden Pengguna Antarabangsa berkata, sepatutnya tiada masalah untuk Perdana Menteri melantik seorang lagi penasihat memandangkan beliau seperti tidak kisah melantik penasihat bagi portfolio yang sudah mempunyai menteri dan timbalan menteri.

“Kerajaan menanggung RM55,000 untuk setiap penasihat, ini bukan jumlah yang sedikit. Saya boleh melakukan tugas sama dengan bayaran suku daripada itu untuk menasihati Perdana Menteri tentang bagaimana mengawal dan menurunkan harga bagi membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata, harga barangan keperluan asas kini telah melonjak dan ini menambah beban keluarga terutama dari kategori B40.

Ismail melantik Duta Khas bagi beberapa rantau termasuk Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing (China), Ahli Parlimen Serian Richard Riot Jaem (Asia Timur), Presiden PAS Abdul Hadi Awang (Timur Tengah) dan Presiden MIC SA Vigneswaran (Asia Selatan).

Selain itu, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Hak Asasi manakala Ketua Umno Kedah, Jamil Khir Baharom pula penasihat agama.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/29/baik-saya-saja-jadi-penasihat-pengguna-kepada-pm-kata-marimuthu/