Apa yang boleh dilakukan sekiranya saya membeli barangan yang dijual di premis perniagaan, namun sudah tamat tempoh? (Halim; Shah Alam, Selangor)

FOMCA : Sekiranya pengguna membeli barangan sudah tamat tempoh, beberapa langkah boleh diambil antaranya merujuk semula kepada premis terbabit untuk penukaran barangan tersebut. Pengguna juga boleh melaporkannya kepada Tribunal  Tuntutan Pengguna dan pihak berkuasa supaya tindakan lanjut boleh diambil. Pengguna harus faham hak mereka supaya tidak menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.

 

Banyak barangan yang diimport dari luar negara mempunyai logo halal. Namun, saya mempunyai keraguan sama ada adakah produk berkenaan betul-betul halal atau sebaliknya? (Anis; Kota Bharu, Kelantan)

FOMCA : Tidak dinafikan banyak aduan diterima oleh persatuan pengguna mengenai status halal barangan, terutama yang dari luar negara. Satu cara mudah untuk mengenal pasti adalah pastikan ia mempunyai logo halal Malaysia yang dikeluarkan pihak berkuasa. Jika tidak, lebih baik beralih pada barangan lain kerana kita tidak pasti statusnya. Jika masih meraguinya, sila rujuk kepada Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), http://www.halal.gov.my/v4/index.php/en/direktori-halal

 

Apa yang FOMCA boleh nasihatkan kepada mereka yang didapati mempunyai tanda penyakit seperti kencing manis, tetapi dia tidak mengawal pemakanan dan dietnya? Apakah kesan buruk yang boleh menimpa jika penyakitnya tidak dikawal? (Aida; Semenyih, Selangor)

FOMCA : Penyakit kencing manis perlu dikawal dengan baik melalui pengawalan makanan dan mengikut nasihat doktor serta makan ubat yang dinasihatkan. Jika pesakit tiada langkah kawalan, ia boleh membawa kepada penyakit lain yang lebih kronik seperti buta, kerosakan buah pinggang, darah tinggi, jangkitan kuman yang menyebabkan tisu mati dan penyakit saraf. Pesakit dinasihatkan  menjaga berat badan supaya kandungan gula dalam darah turun dan terkawal.

 

Sumber : Metro Ahad - 13 September 2015