PENYEBARAN berita-berita palsu menjadi satu kebiasaan di media sosial mutakhir ini. Malah, isu ini turut mendapat perhatian oleh pemimpin tertinggi negara yang menyifatkan ia sebagai satu masalah besar. Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh menyebarkan berita yang dimaksudkan dengan syarat mereka mempunyai akses kepada perkhidmatan internet dan peranti komunikasi di hadapan mereka.
Sifat rangkaian media sosial yang tidak mengenal sempadan dan boleh dikongsi dengan jutaan pengguna dalam sekelip mata, menjadikan impak berita-berita palsu adalah cukup tinggi. Pengguna juga perlu sedar bahawa segala maklumat yang dimuat naik dalam internet akan kekal buat selama-lamanya. Dan ini jugalah cara ekosistem internet sebenarnya berfungsi.
Tatkala pengguna terlalu alpa dengan kemasukan maklumat-maklumat, secara tidak sedar, penyebaran berita palsu dilakukan secara licik dan terancang sehinggakan ada yang mudah terpedaya dengan intipati yang disajikan seolah-olah ia adalah betul.
Dalam kalangan rakyat Malaysia umpamanya, terdapat kecenderungan untuk mereka mempercayai bulat-bulat berita yang disebarkan tanpa banyak soal. Amat mengecewakan apabila penyebaran berita-berita yang tidak ditentukan kesahihannya dibuat tanpa meneliti intipati dan merujuk kepada mereka yang berautoriti.
Keseriusan masalah berita palsu ini akhirnya telah mendorong pihak pengendali platform media sosial terkenal dunia, Facebook yang memutuskan untuk melakukan sesuatu bagi menangani penyebaran berita yang kurang bertanggungjawab itu. Terbaharu, Facebook mengumumkan bahawa mereka kini dalam proses menguji ciri-ciri terbaharu di laman sesawang mereka yang akan membenarkan pengguna untuk menanda pada berita-berita yang didapati palsu.
Kebimbangan terhadap berita palsu itu turut diluahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook yang menyifatkan ia sebagai masalah besar yang kini meracuni pemikiran pengguna. Dalam temu ramah dengan akhbar The Daily Telegraph, Cook menggesa agar dilaksanakan kempen besar-besaran untuk mendidik pengguna mengenai ancaman yang boleh dicetuskan oleh penyebaran berita palsu. Malah Cook menegaskan, kesedaran sedemikian perlu diterapkan secara menyeluruh baik di peringkat sekolah mahupun dalam kalangan orang awam.
Beberapa berita palsu yang disebarkan di media sosial baru-baru ini seperti kenaikan harga petrol untuk Februari 2017, kematian beberapa selebriti terkenal tanah air serta pengumuman bahawa Malaysia adalah antara 20 buah negara yang mana rakyatnya dilarang daripada menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat, hanyalah tip of the iceberg dan permulaan kepada lebih banyak penyebaran sedemikian.
Jelas, apa yang dinyatakan itu meleset dan memperlihatkan tindakan terdesak pihak-pihak tertentu untuk cuba mengeruhkan keadaan semasa di negara ini. Dalam isu harga petrol umpamanya, harga runcit petrol RON 95, 97 masing-masing naik sebanyak 20 sen manakala harga diesel pula sebanyak 10 sen.
Dalam isu kematian beberapa selebriti terkenal tanah air yang tersebar dalam media sosial pula, perbuatan menyebarkan berita palsu mengenai kematian mereka adalah angkara orang gila yang jelas tidak peka dengan sensitiviti anggota keluarga artis-artis itu, manakala sehingga hari ini, hanya tujuh negara yang mana rakyatnya dilarang daripada memasuki AS iaitu Iraq, Iran, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman.
Satu kajian yang dijalankan sekumpulan saintis dari Columbia University dan French National Institute (FNI) mendapati, 59 peratus daripada pautan yang dikongsi di media sosial sebenarnya tidak dibuka langsung. Ini bermakna, orang awam sebenarnya berkongsi berita berlandaskan kepada tajuk berita sahaja tanpa membaca artikel terlebih dahulu. Kajian berkenaan turut mendedahkan, orang awam membentuk pendapat berdasarkan kepada ringkasan tanpa berusaha memahami secara mendalam intipati artikel yang dimaksudkan.
Di Malaysia, menurut Laporan Reuters Institute Digital News 2016, sebanyak 69 peratus daripada penggunanya mendapat berita-berita daripada media sosial. Malaysia juga mempunyai kadar penembusan jalur lebar media sosial dan internet antara yang tertinggi di rantau ini dan keadaan tersebut sekali gus mendedahkan pengguna kepada kepelbagaian berita yang disajikan.
Persoalannya di sini, mengapakah golongan individu bertindak sedemikian rupa? Apakah faktor yang mendorong mereka untuk menyebarkan berita palsu itu? Menurut Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) dalam temu ramah dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, kecenderungan untuk menyebarkan berita sebegitu ada kaitannya dengan harga diri individu. Menurutnya, manusia mahu kekal relevan dengan anggota keluarga, rakan-rakan mahupun kenalan terdekat mereka dan menghantar berita atau mesej yang barangkali berguna kepada orang lain, adalah salah satu caranya.
Dalam usaha untuk mengekang penyebaran berita palsu ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak polis. Sebagai contohnya, MCMC telah menganjurkan kelas-kelas literasi media kepada para penduduk di Pusat-Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) seluruh negara sepanjang 2016.
Ketika menghadiri kelas-kelas literasi tersebut, penduduk ditunjukkan sampel berita palsu merangkumi pelbagai isu berbangkit. Penganjuran kelas-kelas literasi itu amat signifikan kerana ia akan memberi peluang kepada pengguna untuk memahami dengan lebih mendalam intipati berita-berita yang disajikan. Matlamat utama penganjuran kelas-kelas literasi tersebut adalah untuk mendidik pengguna menggunakan media sosial secara berhemah sekali gus menjadi seorang pengguna yang beretika.
Dalam aspek penguatkuasaan pula, Seksyen 233 dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan suruhanjaya berkenaan untuk mendenda mereka yang menyebarkan maklumat-maklumat palsu di media sosial. Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum satu tahun penjara, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Aspek penguatkuasaan dan advokasi hanyalah sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah penyebaran berita palsu. Sebaliknya, jalan penyelesaian sebenarnya terletak di tangan pengguna. Ini kerana, pengguna berhak untuk menolak sebarang berita yang tidak sahih. Segala-galanya bersangkut-paut dengan sikap serta mentaliti pengguna itu sendiri.
Oleh itu, jangan sesekali membiarkan berita palsu ini meracuni pemikiran rakyat hingga tidak dapat membezakan perkara yang benar dan palsu. Benarlah kata orang, jika berita yang disajikan itu terlalu bagus untuk dipercayai, maka besar kemungkinan berita berkenaan adalah palsu. Jadilah pengguna media sosial yang berhemah!
sumber, https://www.utusan.com.my/rencana/utama/perlu-bijak-nilai-kesahihan-berita-1.447727