KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya data dan maklumat peribadi pemegang kad 'paywave' boleh digodam, bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan seperti yang dihebohkan di media sosial.

Perunding Teknologi Maklumat, Mohd Ridzman Azzahari berkata sekalipun tidak menolak kemungkinan itu, namun ia tidaklah semudah seperti yang disangka berdasarkan ciri-ciri keselamatan yang tinggi kad berkenaan.

 


"Kad itu telah dilengkapi ciri keselamatan yang tinggi, termasuk untuk pembayaran secara paywave, yang mana setiap transaksi dibuat adalah unik," katanya.
Mohd Ridzman yang juga Pengarah Urusan Onemyr Awareness, sebuah syarikat perunding berkaitan jenayah siber berkata demikian kepada Bernama sebagai mengulas video berkenaan dakwaan itu yang tular di internet dan media sosial ketika ini.

"Sehingga kini, berdasarkan laporan Bank Negara tiada sebarang aduan dibuat mengenai kecurian menggunakan paywave ini," katanya.

Sementara itu, menurut laman web rasmi Visa, platform Visa payWave adalah berdasarkan teknologi cip EMV yang terjamin dan selamat, yang menyediakan perlindungan data dan keselamatan transaksi menerusi penggunaan kekunci dan teknologi penyulitan terkini.

Menurutnya, transaksi Visa payWave diproses menerusi rangkaian pembayaran yang sama dan boleh dipercayai seperti cip EMV dan transaksi jalur magnetik.

"Kami telah mencipta Visa payWave untuk memastikan ia sentiasa berada dalam kawalan pemegang kad. Peruncit atau penjual perlu terlebih dahulu memasukkan amaun pembelian bagi kelulusan dan kad anda perlu diletakkan betul-betul dekat dengan pembaca kad (dalam jarak 4 sm) bagi membolehkan transaksi dilakukan.

"Terminal-terminal hanya boleh memproses satu transaksi pembayaran pada satu-satu masa," katanya. -- Bernama

sumber, http://www.astroawani.com/berita-teknologi/tidak-mudah-godam-kad-paywave-orang-ramai-tidak-perlu-bimbang-pakar-it-129438