Boleh dikatakan hampir setiap Hari Pusat Khidmat Aduan Pengguna Malaysia (NCCC) menerima aduan tentang masalah `trade in’ kereta ataupun masalah selepas menjual kereta kepada pihak ketiga.
Masalah ini berlaku apabila proses penukaran nama tidak dilakukan oleh pihak yang menguruskan `trade ini’ itu. Pihak tersebut memberikan jaminan bahawa mereka akan menguruskan semua urusan pindah nama Dan baki pinjaman bank. Kebanyakan pengguna terpedaya dengan jaminan kerana tidak sabar untuk mendapatkan kereta baru daripada kedai berkenaan.
Ramai pengguna tidak sedar tentang risiko yang bakal mereka hadapi sekiranya masalah ini berlaku. Berdasarkan Akta Sewa Beli 1967, seseorang itu dianggap sebagai penyewa apabila membeli secara sewa beli, Dan bukannya sebagai pemilik.
Bank atau institusi kewangan berstatus pemilik sehingga pinjaman sewa beli berkenaan selesai dilunaskan. Sehingga tempoh tersebut, penyewa sebenarnya menanggung segala liabiliti terhadap kereta berkenaan.
Berdasarkan peraturan, proses pindah milik tidak boleh dilakukan sekiranya baki pinjaman bank belum dilangsaikan. Tetapi pada realitinya, seseorang menjual ataupun `trade in’ kereta atas sikap kepercayaan Dan langsung tidak mengambil berat terhadap prosedur yang perlu dilakukan selepas proses tersebut.
Hampir sebahagian besar pengadu mendakwa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat tentang pembeli yang baru ataupun kedai kereta serta tidak mempunyai sebarang dokumen yang jelas menunjukkan urusan jual beli atau `trade ini’ telah dilakukan. Isu ini merupakan sesuatu yang serius kerana risiko undang-undang Dan tanggungan hutang ataupun tindakan bank yang bakal dihadapi oleh pengguna dalam masa yang terdekat.
Oleh itu pengguna tidak sewajarnya mengambil mudah terhadap perkara ini. Merela perlu memastikan semua urusan dibuat secara bertulis Dan penyelesaian baki pinjaman serta penukaran nama dilakukan serta-merta. Sekiranya hal ini gagal tidak dilakukan, akhirnya pengguna terpaksa membayar pinjaman yang tertunggak beberapa bulan serta perlu menjelaskan baki pinjaman tanpa dapat mengunakan kereta berkenaan.
Apa yang lebih membimbangkan ialah saman ataupun kesalahan yang dilakukan dengan menggunakan kereta tersebut juga perlu ditanggung kerana nama pemilik masih belum ditukar. Walaupun orang yang dijual kereta itu adalah rakan atau saudara, namun undang-undang tidak melibatkan mereka.
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
21 Mei 2010