Jika kita menonton siri cerita kepolisan di America Syarikat, kita dapat melihat kebanyakan kereta polis di negara tersebut dilengkapi dengan kamera video yang merakamkan saat-saat mereka melakukan siasatan atau penangkapan. Oleh itu kita dapat melihat keadaan dan perkara sebenar yang berlaku semasa kejadian tersebut.

Menyorot kembali kisah tragis adik Aminul Rasyid Amzah, 15 tahun yang ditembak mati oleh pihak polis tidak berapa lama dahulu, fakta dan keadaan sebenar kejadian masih samara. Ini menyebabkan ramai yang berpendapat bahawa tindakan polis tersebut adalah melampau. Begitu juga dengan aduan-aduan terhadap polis yang semakin menggunung banyaknya sehinggakan masyarakat kurang mempercayai pasukan polis lagi. Oleh itu tindakan meletakkan kamera video di dalam kereta peronda polis boleh dijadikan satu titik perubahan kepada persepsi rakyat terhadap badan penguatkuasa tersebut.

Kamera video yang dipasangkan di Bahagian dashboard kereta peronda itu boleh memantau pergerakan polis dan aktiviti yang dilakukan oleh pegawai tersebut. Oleh itu, sebarang keadaan dan aktiviti yang berlaku boleh dijadikan bahan bukti sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa oleh polis mahupun tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap mereka.

Di dalam akhbar atas talian New Jersey Real-Time News, Pengarah Polis Newark menyatakan pemasangan kamera video di dalam kereta polis adalah untuk menjaga keselamatan dan kebaikan polis sendiri dan beliau juga menyebut “kita akan berkelakuan baik sekiranya kita diperhatikan”. (www.nj.com, 18 April 2010)

Dengan pemasangan kamera video tersebut, masyarakat boleh menilai sendiri sama ada tindakan yang dilakukan pihak berkuasa wajar atau tidak.

Kerajaan seharusnya mempertimbangkan hal ini demi keselamatan rakyat dan keyakinan mereka terhadap pasukan keselamatan. Sekiranya masyarakat telah hilang kepercayaan kepada pihak penguatkuasaan, maka kehormanian Malaysia yang sedang kita kecapi pada masa ini mungkin tidak akan wujud lama.

 

Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia