Kit ujian kendiri COVID-19 - NSTP/Luqman Hakim ZubirKhamis, 9 September 2021 | 11:10am
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyemak turun harga kit ujian kendiri COVID-19 menjelang akhir tahun, kata Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata semakan semula berterusan harga kita ujian kendiri COVID-19 bagi membolehkan ia berpatutan untuk rakyat.

"Buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga kit ujian ini di bawah RM20," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dengan tema 'Winning the War against COVID – The Road to Recovery' hari ini.

Minggu lalu, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16.

Penetapan harga maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu berdasarkan jangkaan berlakunya peningkatan permintaan susulan kesedaran orang ramai dalam membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19.

Terdahulu, KPDNHEP menerima banyak rungutan serta desakan yang menyifatkan harga bagi satu set kit ujian kendiri RM35 hingga RM39.90 adalah terlalu mahal.

Sumber: https://origin.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/861701/harga-kit-ujian-kendiri-covid-19-akan-diturunkan-lagi