Dalam beberapa dekad ini, negara kita menyaksikan pembangunan yang pesat dalam sektor pengangkutan berbanding negara ASEAN lain. Di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, kadar peningkatan kereta adalah paling tinggi berbanding kawasan lain.

Berdasarkan laporan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam. Keadaan ini menyumbang kepada penambahan jumlah kereta di jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran.

Pada tahun 1993, Jabatan Alam Sekitar menjalankan satu kajian mengenai kualiti udara di Lembah Klang,  dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA). Rumusan kajian itu memberi amaran bahawa pencemaran udara akan menjadi tidak terkawal pada masa hadapan jika langkah pencegahan tidak diambil.

 

Kos Pencegahan Meningkat.

Kajian ini menunjukkan bahawa Malaysia terus mengabaikan kadar pelepasan gas rumah hijau ke alam sekitar, maka kadar pencemaran akan bertambah teruk dan kos pencegahan akan semakin meningkat.

Hakikatnya, pada tahun 2008, sebanyak 18 juta kenderaan  telah didaftarkan di Malaysia. Jumlah ini merekodkan kadar pelepasan gas rumah hijau sebanyak 4.9 juta tan ke udara dan persekitaran.

Peningkatan taraf hidup rakyat di Malaysia menyebabkan berlaku kenaikan jumlah kereta dijalan raya. Berdasarkan kajian dijalankan oleh Syarikat Prasarana Nasional Bhd (SPNB), ada 2.2 juta kereta masuk ke kawasan bandar setiap hari. Waktu antara jam 8 hingga jam 9 pagi dan 6 hingga 7 petang adalah waktu puncak kesesakan teruk.

Berdasarkan satu kajian, kesesakan lalu lintas menyumbang kepada peningkatan penggunaan minyak sebanyak 30 peratus. Sebagai contoh, aliran trafik di Lebuh Raya Persekutuan adalah sebanyak 100,000 kenderaan dari Klang ke Kuala Lumpur. Jumlah minyak yang diperlukan untuk sampai ke destinasi  adalah 10 liter.

Pada masa sama, 0.7 kilogram adalah  gas rumah hijau yang dihasilkan oleh setiap kenderaan. Bagaimanapun, disebabkan oleh kesesakan jalu lintas, penggunaan minyak meningkat 30 peratus, iaitu lebih tiga liter diperlukan untuk sampai ke destinasi. Jika diukur dengan jumlah wang, RM5.40 diperlukan untuk membayar tambahan liga liter itu.

Akibatnya, 300,000 liter minyak dan RM540,000 dibazirkan dan diikuti dengan 70 tan gas rumah hijau dilepaskan di atmosfera pada setiap hari hanya disebabkan oleh kesesakan lalu lintas.

Jika dilihat pada jumlah kenderaan yang didaftarkan di Malaysia, iaitu sebanyak 500,000 kenderaan baharu yang didaftar pada tahun 2009, maka kesesakan lalu lintas, penggunaan minyak dan kadar pelepasan gas rumah hijau akan bertambah teruk.

Pelbagai cara dijalankan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya.

 

Cara Berkesan Kurang Dapat Perhatian Ramai.

Bagaimanapun, cara yang lebih berkesan kurang mendapat perhatian orang ramai. Antaranya ialah amalan berkongsi kereta dan menggunakan pengangkutan awam, seperti sistem transit ringan (LRT), bas dan keretapi (KTM).

Selain itu, elakkan melalui jalan yang sesak dan cuba menggunakan jalan yang terdekat ke destinasi juga adalah cara yang baik. Semua cara ini dapat menjimatkan minyak dan masa secara berkesan. Paling penting ia dapat mengurangkan bilangan kereta dijalan raya dan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera.

Berbasikal dan berjalan kaki adalah pilihan yang bijak sekiranya destinasi berada dalam lingkungan satu kilometer. Sejak harga minyak tidak menentu, semakin ramai menggunakan pengangkutan awam.

Justeru, kerajaan harus memainkan peranan yang penting dalam mempromosi dan menaik taraf pengangkutan awam sedia ada untuk memenuhi keperluan penumpang. Dengan itu, kesesakan jalan raya dapat dikurangkan dan kehidupan hijau dapat dicapai.

Sebagai kesimpulan, cara hidup dan juga tabiat rakyat yang perlu diubah seiring dengan usaha kerajaan dalam mengurus dan menyelesaikan kesesakan jalan raya di Malaysia.

 

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA

Sumber : Berita Harian – Rencana – (Selasa, 07 Julai 2015)